Konvensyen Solidariti Malaysia

Konvensyen Solidariti Malaysia
Ditubuhkan6 Jun 1965
Dibubarkan9 Ogos 1965
KeanggotaanParti Tindakan Rakyat (PAP)
Parti Progresif Penduduk (PPP)
Parti Demokratik Bersatu (UDP)
Parti Rakyat Bersatu Sarawak(SUPP)
Parti Machinda (MACHINNDA)


Konvensyen Solidariti Malaysia atau Malaysian Solidarity Convention (MSC) juga dikenali sebagai Majlis Solidariti Malaysia (Malaysian Solidarity Council) , merupakan satu gabungan parti-parti politik pembangkang pelbagai kaum yang ditaja oleh Lee Kuan Yew yang terdiri daripada Parti Tindakan Rakyat (People's Action Party) (PAP), Parti Progresif Penduduk (People's Progressive Party) (PPP) dan Parti Demokratik Bersatu (United Democratic Party) (UDP)[1] serta parti Sarawak; Parti Rakyat Bersatu Sarawak (Sarawak United People's Party) (SUPP) dan Parti Machinda, semasa Singapura menyertai penubuhan dan masih dalam gagasan persekutuan Malaysia. Pada 8 Mei 1965, MSC mengadakan konvensyennya yang pertama di Singapura yang diwakili oleh Dr. Toh Chin Chye (PAP) sebagai pengerusi konvenseyen, D. R. Seenivasagam (PPP), Lim Chong Eu (UDP), Stephen Yong (SUPP) dan Michael Buma (MACHINDA)[2]. Lee Kuan Yew tidak hadir kerana tidak berada di Singapura dan dikatakan ianya disengajakan untuk mengelakkan kontroversi penglibatannya. Konvensyen itu seterusnya mengeluarkan deklarasi bersama pada 9 Mei 1965 yang mendokong Malaysian Malaysia yang menyatakannya tidak menentang Perlembagaan Malaysia, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan status orang Melayu.[3] MSC telah diasaskan pada 6 Jun 1965, untuk memperjuangkan prinsip Malaysian Malaysia yang mendokong hak dan layanan sama-rata dan saksama bagi semua kaum di Malaysia.[4]

Walau bagaimanapun, perjuangan dan tindak-tanduk MSC dilihat UMNO sebagai ancaman kepada sistem politik Malaysia berlandaskan Ketuanan Melayu.[5] Kontroversi ini seterusnya membawa MSC terkubur bersama dengan hasratnya untuk melihat sebuah negara Malaysia yang lebih adil, sama-rata dan saksama apabila Singapura dikeluarkan[6] dari persekutuan Malaysia pada 9 Ogos 1965.

Lihat juga

Pautan Luar

Rujukan