Pulau_Pinang

Pulau Pinang
ڤولاو ڤينڠ
Transkripsi lain
 • InggerisPenang
 • Cina槟城 (Ringkas)
檳城 (Tradisional)
Bīn chéng (Pinyin)
 • Hokkien庇能
Pī-néeng (Tâi-lô)
Pī-né͘ng (Pe̍͘h-ōa-jī)
 • Tamilபினாங்கு
Piṉāṅku (Transliterasi)
 • Thaiปีนัง
Pinang (RTGS)
Nama panggilan: Pulau mutiara
Cogan kata: Bersatu dan Setia
Lagu: Untuk Negeri Kita
   Pulau Pinang di    Malaysia
Koordinat: 05°24′09″N 100°21′54″E / 5.40250°N 100.36500°E / 5.40250; 100.36500Koordinat: 05°24′09″N 100°21′54″E / 5.40250°N 100.36500°E / 5.40250; 100.36500
NegaraMalaysia
Ibu negeriGeorge Town, Pulau Pinang
Bandar terbesarSeberang Perai
Pentadbiran
 • JenisSistem berparlimen
 • Yang di-Pertua NegeriAhmad Fuzi Abdul Razak
 • Ketua MenteriChow Kon Yeow
Keluasan
 • Jumlah1,048 km2 (405 batu persegi)
Aras tertinggi833 m (2,733 ft)
Penduduk
 (2020)[2]
 • Jumlah1,740,405
 • Kepadatan1,659/km2 (4,300/batu persegi)
Indeks Pembangunan Manusia
 • IPM (2018) 0.838 sangat tinggi [3]
Zon waktuUTC+08:00 (WPM)
Poskod
10xxx–11xxx (Pulau Pinang)
12xxx-14xxx (Seberang Perai)
Kod panggilan04
Huruf pertama plat kenderaanP
Laman sesawangwww.penang.gov.my

Pulau Pinang (Jawi: ڤولاو ڤينڠ) merupakan sebuah negeri di Malaysia yang terletak di pantai barat laut Semenanjung Malaysia, di pinggir Selat Melaka. Ia mempunyai dua bahagian: sebuah pulau induk nama sama yang tertetaknya ibu negeri George Town dan Seberang Perai di Semenanjung Tanah Melayu. Kedua-dua bahagian ini dihubungkan secara fizikalnya oleh Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Kedua Pulau Pinang. Negeri ini bersempadan dengan Kedah di bahagian utara dan timur serta Perak di bahagian selatan.

Dengan penduduk seramai 1.74 juta orang dan kepadatan penduduk sebanyak 1,659/km2 (4,300/sq mi) setakat tahun 2020, Pulau Pinang merupakan antara negeri di Malaysia yang paling berpenduduk padat. Seberang Perai merupakan bandar raya ketiga terbesar di Malaysia mengikut bilangan penduduk. Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang majoriti penduduknya berbangsa Cina. Penduduk Pulau Pinang juga terdiri daripada kaum dan bangsa lain termasuklah Melayu, India, Serani, Siam dan ekspatriat.

Didirikan oleh Francis Light pada tahun 1786, Pulau Pinang menjadi sebahagian daripada Negeri-Negeri Selat, sebuah jajahan mahkota British yang juga terdiri daripada Melaka dan Singapura. Ketika Perang Dunia Kedua, Jepun menduduki Pulau Pinang, tetapi British menguasainya semula pada tahun 1945. Pulau Pinang kemudiannya bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu (kini Malaysia), yang mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Ekonomi Pulau Pinang beralih daripada perdagangan entrepot kepada pembuatan elektronik dan sektor ketiga pada hujung abad ke-20. Kini, Pulau Pinang merupakan salah satu daripada penjana ekonomi yang paling membangun dalam Malaysia, dengan KDNK per kapita kedua tertinggi dalam kalangan negeri-negeri Malaysia, dan Indeks Pembangunan Manusia ketiga tertinggi selepas Kuala Lumpur dan Selangor. Pulau Pinang juga merupakan pengeksport utama Malaysia dengan eksport bernilai hampir RM451 billion pada tahun 2022, terutamanya melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, yang juga lapangan terbang ketiga tersibuk dalam negara dari segi traffik penumpang. Laporan Sosioekonomi Negeri 2017 yang diterbitkan pada 26 Julai 2018 melaporkan bahawa Pulau Pinang mempunyai KDNK per kapita sebanyak RM49,873 pada 2017.[4]

Etimologi

Nama Pulau Pinang ini diambil daripada nama pokok pinang (areca catechu). Pulau Pinang juga dirujuk secara tidak rasminya sebagai "Mutiara Timur" (Pearl of the Orient) dan "Pulau Mutiara".

Di sepanjang aliran sejarahnya, Pulau Pinang dikenali dengan nama-nama berbeza oleh para pelaut dari pelbagai kawasan. Orang tempatan menamakannya Pulo Ka Satu kerana ia merupakan pulau terbesar di sepanjang jalan kelautan antara Lingga dan Kedah.[5] Orang Siam yang pernah dipertuankan Kedah memanggilnya Ko Mak (Bahasa Thai: เกาะหมาก).[6]

Peneroka kelautan juga mengambil perhatian terhadap pokok pinang yang berlebih-lebih di pulau ini. Pada abad ke-15, Laksamana Cheng Ho dari China Ming merujuk kepada pulau ini sebagai Bīngláng Yǔ (Cina tradisional: 檳榔嶼Cina ringkas: 槟榔屿Pe̍h-ōe-jī: Pin-nn̂g-sū; secara harfiahnya "Pulau Pinang") dalam carta pandu arah beliau.[7] Dalam buku yang bertajuk Declaraçam de Malaca ("Description of Malacca" atau "Penerangan Melaka"), ahli kartografi Portugis Manuel Godinho de Erédia menamakannya Pulo Pinaom.[8]

Sejarah

Sejarah awal

Hubungan sejarah
Syarikat Hindia Timur Inggeris 1786–1858

Raj British 1858–1867
 Negeri-Negeri Selat 1826–1941; 1945–1946
Empayar Jepun 1941–1945
 Malayan Union 1946–1948
 Persekutuan Tanah Melayu 1948–1963

 Malaysia 1963–kini

Ahli arkeologi telah menemui rangka manusia seperti "Penang Woman" (Perempuan Pulau Pinang) berserta dengan cengkerang kepah dan kerang, tembikar dan alat batu di Seberang Perai.[9] Artifak-artifak tersebut menunjukkan bahawa sejak sekitar 5,000 dan 6,000 tahun lalu, Pulau Pinang pernah dihuni oleh Orang Melanesia pada Zaman Neolitik.[10][11][12]

Inskripsi Bahasa Pali pada megalit Cherok Tok Kun menandakan bahawa tamadun Hindu-Buddha Lembah Bujang, yang berpusat di Kedah hari ini, pernah berkuasa di sesetengah bahagian Seberang Perai menjelang abad ke-6.[13] Keseluruhan bahagian Pulau Pinang kemudiannya menjadi sebahagian daripada negeri Kedah, yang dinaungi Negara Siam menjelang hujung abad ke-18.[14]

Penubuhan dan pemerintahan British

Pemerolehan dan pengembangan Pulau Pinang (berwarna kuning) oleh British berlaku di antara tahun 1786 dan tahun 1874, apabila perubahan terakhir bagi sempadan Pulau Pinang telah diperbuat.[15][16][17][18]
Pelabuhan Pulau Pinang di George Town s. tahun 1910. Fungsi perlabuhan akhirnya ditempatkan semula ke Seberang Perai pada tahun 1974.[19]

Sejarah moden Pulau Pinang bermula pada tahun 1786 apabila Francis Light, seorang wakil Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI), memperoleh Pulau Pinang daripada Sultan Kedah sebagai tukaran bantuan ketenteraan. Light dihantar ke Semenanjung Tanah Melayu oleh SHTI untuk membina hubungan perdagangan di kawasan tersebut. Di sana, beliau melihat potensi strategik Pulau Pinang sebagai "stor yang mudah untuk perdagangan" yang dapat membolehkan British untuk menyekat cita-cita wilayah Belanda dan Perancis di Asia Tenggara.[20]

Antara pedagang Inggeris yang paling awal menemui Pulau Pinang ialah Kapten James Lancaster. Kapal The Edward Bonaventure miliknya adalah antara tiga kapal yang dihantar oleh Britain dalam misi perdagangan ke Hindia Timur pada tahun 1591. Berdasarkan catatan pelayaran kapten tersebut, beliau menemui Pulau Pinang selepas singgah beberapa bulan di Pulau Rimau yang terletak di selatan Pulau Pinang pada bulan Jun 1593. Dalam perjalanan meninggalkan Pulau Rimau itulah beliau menemui Pulau Pinang yang kelihatan tidak berpenghuni.

Satu daftar ukur tanah dan kawasan yang bertarikh 1795 menyebut kawasan Datok Keramat telahpun dihuni sejak tahun 1705 berdasarkan penemuan kawasan perkampungan orang Melayu dan tanah perkuburan seluas 18 ekar di kawasan tersebut. Penempatan-penempatan juga turut dibuka oleh orang Melayu di Batu Uban, Sungai Kluang dan beberapa kawasan lain. Di Seberang Perai pula, sewaktu diambil alih oleh SHTI pada tahun 1800, masih dipenuhi hutan dengan penduduknya dianggarkan berjumlah antara 2 hingga 3 ribu orang.[21]

Pulau Pinang yang pada asalnya kepunyaan Kesultanan Kedah, dipajak kepada Syarikat Hindia-Timur British (SHTI) pada 1786 oleh Sultan Muhammad Jiwa, Sultan Kedah, sebagai gantian untuk mendapat perlindungan pihak British daripada serangan Siam dan Burma. Pada 11 Ogos 1786, Kapten Francis Light, yang dikenali sebagai pengasas Pulau Pinang, menamakan pulau itu sebagai Pulau Prince of Wales sempena nama Raja Muda Britain. Penempatan di Tanjung Penaga yang terletak di hujung timur laut pulau dinamakan "Georgetown", iaitu bersempena dengan nama Raja George III dari Britain.

Kapten Francis Light: mendapatkan Pulau Pinang dengan memberikan janji palsu, bantuan tentera kepada Sultan Kedah.

Kedudukan pulau di permulaan Selat Melaka telah menarik minat SHTI untuk menggunakannya sebagai sebuah pelabuhan untuk kapal-kapal perdagangan dan juga sebagai sebuah pangkalan tentera laut.

Tanpa pengetahuan Sultan Muhammad Jiwa, Light telah membuat perjanjian pemberian perlindungan askar tanpa kebenaran SHTI. Apabila syarikat gagal dalam membantu Kedah sewaktu ia diserang oleh Siam, Sultan Kedah cuba mengambil kembali pulau pada 1790. Malangnya, pencubaan itu gagal dan Sultan Muhammad Jiwa terpaksa menyerahkan hak kepada syarikat itu dengan hanya bayaran kehormat sebanyak 6,000 dolar Sepanyol setahun. Bayaran ini dinaikkan kepada 10,000 dolar kemudian, dengan penyerahan Seberang Perai (Province Wellesley) pada 1800. Sehingga hari ini, pembayaran diteruskan oleh kerajaan pusat Malaysia yang membuat pembayaran kepada negeri Kedah tetapi telah dinaikkan sebanyak RM10 juta pada tahun 2018.

Pada 1826, Pulau Pinang, bersama-sama dengan Melaka dan Singapura, menjadi sebahagian daripada Negeri Selat di bawah pentadbiran British di India. Negeri ini menjadi tanah jajahan pemerintahan British pada tahun 1867. Pada 1946, Pulau Pinang menjadi sebahagian daripada Malayan Union, sebelum menjadi sebuah negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan Pulau Pinang menjadi salah satu daripada 13 negeri di dalam Persekutuan Malaysia sewaktu penubuhannya pada tahun 1963.

Pulau Pinang ialah sebuah pelabuhan bebas sehingga 1969. Walaupun kehilangan taraf pelabuhan bebas, zon perdagangan bebasnya yang terletak berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di selatan pulau menjadi salah satu daripada pusat-pusat perkilangan elektronik yang terbesar di Asia dari 1970-an sehingga akhir 1990-an.

Pada tahun 2004, ketidakpuasan terhadap kemerosotan ekonomi Pulau Pinang telah mengakibatkan kempen media untuk mengembalikannya kepada zaman kegemilangannya.

Geografi

Pemandangan pulau dari Bukit Bendera

Pulau Pinang merupakan salah satu daripada 13 negeri di Malaysia. Dengan jumlah keluasan 1,049 kilometer persegi, Pulau Pinang merupakan negeri kedua terkecil di Malaysia selepas Perlis. Terletak di persisiran barat laut Semenanjung Malaysia, bersempadan dengan negeri Kedah di sebelah utara dan timur, negeri Perak di sebelah selatan dan perairan Selat Melaka di sebelah barat. Pulau Pinang terdiri daripada bahagian pulau dan juga tanah besar yang dikenali sebagai Seberang Perai, kedua-duanya dipisahkan oleh Selat Pulau Pinang. Keluasan kawasan pulau adalah 295 kilometer persegi manakala kawasan Seberang Perai berkeluasan 748 kilometer persegi. Kedua-dua bahagian dihubungkan dengan perkhidmatan feri dan Jambatan Pulau Pinang yang panjangnya 13.5 kilometer.

Bentuk muka bumi Pulau Pinang secara umumnya tidak sekata, dengan kawasan berbukit dan dilitupi hutan di kawasan tengah pulau. Titik tertinggi di negeri ini ialah Bukit Bendera, yang berketinggian 833 meter dan terletak di tengah pulau. Dataran pantai di pulau ini sebahagian besarnya sempit, dengan kawasan dataran terluas berada di timur laut pulau. Kawasan timur pulau merupakan kawasan yang paling membangun dan padat, manakala kawasan barat pulau kurang dibangunkan. Seberang Perai pula sebahagian besarnya mempunyai bentuk muka bumi yang rata, dengan sedikit kawasan berbukit di sempadan timur dengan Kedah.

Sungai utama yang mengalir di Pulau Pinang termasuklah Sungai Pinang, Sungai Muda, Sungai Perai dan Sungai Kerian. Sungai Muda menjadi sempadan utara antara Seberang Perai dan Kedah, manakala Sungai Kerian menjadi sempadan selatan antara Seberang Perai, Kedah dan Perak.

Beberapa projek tebus guna tanah telah dilaksanakan di kawasan perairan timur Pulau Pinang disebabkan kekurangan tanah dan kepadatan George Town. Pada tahun 2023, proses penambakan telah dilaksanakan di kawasan selatan pulau bagi membina Pulau Silikon yang berkeluasan 920 hektar.

Iklim

Suhu (siang) 27°C-30°C
Suhu (malam) 22°C-24°C
Curahan hujan 2670 mm
Kelembapan 70%-90%
Data iklim untuk Pulau Pinang
Bulan Jan Feb Mac Apr Mei Jun Jul Ogo Sep Okt Nov Dis Tahun
Purata maksimum suhu harian, °C (°F) 31.6
(88.9)
32.2
(90.0)
32.2
(90.0)
31.9
(89.4)
31.6
(88.9)
31.4
(88.5)
31.0
(87.8)
30.9
(87.6)
30.4
(86.7)
30.4
(86.7)
30.4
(86.7)
30.7
(87.3)
31.2
(88.2)
Purata minimum suhu harian, °C (°F) 23.2
(73.8)
23.5
(74.3)
23.7
(74.7)
24.1
(75.4)
24.2
(75.6)
23.8
(74.8)
23.4
(74.1)
23.4
(74.1)
23.2
(73.8)
23.3
(73.9)
23.3
(73.9)
23.4
(74.1)
23.5
(74.3)
Purata curahan hujan, mm (inci) 68.7
(2.70)
71.7
(2.82)
146.4
(5.76)
220.5
(8.68)
203.4
(8.01)
178.0
(7.01)
192.1
(7.56)
242.4
(9.54)
356.1
(14.02)
383.0
(15.08)
231.8
(9.13)
113.5
(4.47)
2,407.6
(94.78)
Purata bilangan hari hujan (≥ 1.0 mm) 5 6 9 14 14 11 12 14 18 19 15 9 146
Purata bulanan jangka masa sinaran matahari 248.0 234.5 235.6 225.0 204.6 201.0 204.6 189.1 162.0 170.5 183.0 207.7 2,465.6
Sumber 1: National Environment Agency
Sumber 2: Hong Kong Observatory[22]

Kerajaan

Bangunan Komtar

Negeri Pulau Pinang merupakan antara empat negeri di Malaysia yang tidak mempunyai sistem beraja. Ketua negeri bagi Pulau Pinang ialah Yang di-Pertua Negeri, yang dilantik Yang di-Pertuan Agong Malaysia. Jawatan ini kini disandang oleh Ahmad Fuzi Abdul Razak. Bidang kuasa Yang di-Pertuan Negeri sebahagian besarnya hanya sebagai bentuk simbolik, antaranya ialah kuasa melantik ketua menteri dan meluluskan undang-undang yang telah diluluskan badan perundangan negeri.[23]

Pulau Pinang mempunyai badan eksekutif dan perundangannya yang tersendiri, akan tetapi kuasanya terhad apabila dibandingkan dengan bidang kuasa kerajaan pusat. Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang merupakan badan perundangan utama negeri, dengan ahli seramai 40 orang. Kesemua ahli dewan ini dipilih untuk tempoh maksimum selama lima tahun daripada setiap kawasan pengundian yang dipertandingkan dalam pilihan raya negeri.

Hubungan Ketua parti/gabungan Status Kerusi
PRN 2023 Semasa
    
    
Pakatan Harapan
Barisan Nasional
Chow Kon Yeow Kerajaan 29 29
     Perikatan Nasional Muhammad Fauzi Yusoff[24] Pembangkang 11 11
Jumlah 40 40
Majoriti kerajaan 18 18

Badan eksekutif utama negeri ini ialah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, sama fungsinya dengan Kabinet Persekutuan. Majlis ini diketuai oleh Ketua Menteri, yang berperanan sebagai ketua kerajaan Pulau Pinang. Majlis ini juga terdiri daripada 11 ahli yang dilantik Yang di-Pertuan Negeri (atas nasihat Ketua Menteri) dan dalam kalangan ahli Dewan Undangan Negeri. Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri di Malaysia di mana jawatan ketua menterinya disandang oleh etnik Cina sejak kemerdekaan. Ketua Menteri Pulau Pinang yang terkini ialah Chow Kon Yeow dari Parti Tindakan Demokratik, yang menyandang jawatan ini sejak 2018.

Terdapat dua kerajaan tempatan berstatus bandaraya yang mentadbir Pulau Pinang, iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang yang mentadbir kawasan pulau dan Majlis Bandaraya Seberang Perai yang mentadbir kawasan Seberang Perai. Kedua-dua majlis ini masing-masing mempunyai ahli seramai 24 orang dan diketuai seorang datuk bandar.

Pecahan kawasan pentadbiran

Negeri Pulau Pinang dibahagikan kepada 5 daerah dan 81 mukim.

Daerah di Pulau Pinang
Daerah Keluasan (km2)[25] Populasi (2020)[26] Mukim
Barat Daya 174.87 237,735 22
Seberang Perai Selatan 242.27 422,985 16
Seberang Perai Tengah 237.8 339,132 21
Seberang Perai Utara 267.74 183,996 16
Timur Laut 126.4 556,557 6

Bandar utama

Hubungan luar

Pulau Pinang mempunyai perwakilan diplomatik asing yang terbesar antara negeri-negeri di Malaysia. Setakat tahun 2023, 27 negara telah menubuhkan konsulat atau malantik konsul terhormat di Pulau Pinang.[27] Kerajaan Pulau Pinang juga telah mengadakan hubungan "wilayah kembar" dengan Kanagawa, Jepun dan hubungan wilayah persahabatan dengan Hainan, China.[28][29]

Demografi

Sejarah kependudukan
TahunPend.±%
1911 270,537—    
1921 292,485+8.1%
1931 340,259+16.3%
1947 446,321+31.2%
1957 572,100+28.2%
1970 776,124+35.7%
1980 954,638+23.0%
1991 1,116,801+17.0%
2000 1,313,449+17.6%
2010 1,526,324+16.2%
2020 1,740,405+14.0%
Sumber: [30][31]

Kumpulan etnik di Pulau Pinang (2020)[2]

  Cina (41.3%)
  Melayu (40.7%)
  India (8.9%)
  Lain-lain (1.1%)
  Bukan warganegara (8.1%)

Mengikut bancian penduduk Malaysia 2020, jumlah penduduk di Pulau Pinang ialah seramai 1,740,405 orang. Pulau Pinang merupakan negeri ketiga terpadat di Malaysia, selepas Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan kepadatan penduduk seramai 1,664 orang perkilometer persegi. Daerah Timur Laut mempunyai jumlah penduduk paling ramai di Pulau Pinang, iaitu 32 peratus dari jumlah penduduk. 91.9 peratus daripada jumlah penduduk merupakan warganegara manakala selebihnya merupakan bukan warganegara.[2]

Penduduk Pulau Pinang terdiri daripada pelbagai etnik, dengan majoritinya merupakan penduduk berbangsa Cina dan Melayu. Penduduk berbangsa Cina membentuk kelompok terbesar iaitu 44.9 peratus dari jumlah penduduk, menjadikannya sebagai satu-satunya negeri di Malaysia yang majoriti penduduknya beretnik Cina. Masyarakat Bumiputera di Pulau Pinang pula membentuk 44.7 peratus dari jumlah penduduk, dengan majoritinya berbangsa Melayu. Terdapat juga kelompok kecil masyarakat Bumiputera Sarawak, Sabah dan Orang Asli. Penduduk berbangsa India pula membentuk peratusan 9.7 peratus dari keseluruhan penduduk.[2]

Warganegara Kaum Jumlah %
Warganegara Malaysia Cina 718,362 41.3
Bumiputera Melayu 707,861 40.7
Lain-lain 8,038 0.5
India 155,492 8.9
Lain-lain 10,121 0.6
Bukan warganegara 140,531 8.1
Jumlah 1,740,405 100.0

Pulau Pinang juga pernah mempunyai komuniti Yahudi dan Armenia, tetapi selepas Perang Dunia Kedua dan penubuhan negara Israel, komuniti Yahudi dan Armenia Pulau Pinang hampir lenyap. Terdapat juga komuniti peniaga Arab, Jerman, Inggeris, dan Belanda di Pulau Pinang. Selain itu, Pulau Pinang turut mempunyai golongan ekspatriat yang besar, kebanyakannya berasal dari United Kingdom, Australia, negara-negara Eropah, dan Jepun.

Agama

Agama di Pulau Pinang - Banci 2020[2]
Agama Peratusan
Islam
  
45.5%
Buddha
  
37.6%
Hindu
  
8.4%
Kristian
  
4.3%
Lain-lain
  
2.4%
Tiada agama atau N/A
  
1.7%

Pada tahun 2020, majoriti penduduk Pulau Pinang beragama Islam iaitu 45.5 peratus dari jumlah penduduk diikuti agama Buddha yang dianuti 37.6 peratus penduduk. Antara agama lain yang dianuti penduduk Pulau Pinang termasuklah agama Hindu dengan 8.4 peratus dan agama Kristian dengan 4.3 peratus. Sebanyak 1.7 peratus penduduk Pulau Pinang tidak beragama atau tidak diketahui status agamanya.[2]

Majoriti penduduk beragama Islam merupakan penduduk berbangsa Melayu. Penduduk berbangsa Cina pula kebanyakannya menganut agama Buddha. Antara agama lain yang dianuti masyarakat Cina termasuklah Taoisme, agama tradisional dan Kristian. Penduduk berbangsa India pula menganut agama Hindu, dan beberapa agama minoriti lain seperti Sikh. Penganut Kristian kebanyakannya terdiri daripada masyarakat Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Bahasa

Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi Pulau Pinang, dengan dialek Bahasa Melayu Utara digunakan secara meluas dalam kalangan penduduk Melayu dan beberapa etnik lain. Penduduk berbangsa Cina pula menggunakan pelbagai variasi dialek Cina seperti Teochew, Hakka, Kantonis dan dominannya Hokkien. Bahasa Tamil juga dituturkan secara meluas oleh penduduk berbangsa India. Bahasa Inggeris turut digunakan secara meluas di Pulau Pinang.

Ekonomi

Sektor ekonomi di Pulau Pinang mengikut sumbangan KDNK (2023)[32]

  Perkhidmatan (48.0%)
  Pembuatan (46.5%)
  Pembinaan (2.9%)
  Pertanian (1.9%)
  Perlombongan (0.1%)

Pulau Pinang merupakan antara negeri yang mempunyai ekonomi terbesar di Malaysia, dengan sebahagian besarnya didorong oleh sektor perkilangan dan perkhidmatan.[33] Pada tahun 2023, keluaran dalam negeri kasar (KDNK) Pulau Pinang dicatatkan bernilai RM128,593 bilion dengan kadar pertumbuhan ekonomi sebanyak 3.3 peratus.[32] KDNK per kapita Pulau Pinang pula bernilai RM72,586, merupakan yang tertinggi antara negeri di Malaysia. Pulau Pinang menyumbang kira-kira RM 7 bilion dalam cukai tahunan Malaysia dan mencatatkan antara kadar pengangguran terendah di Malaysia, iaitu 2.2 peratus pada 2023. Median pendapatan isi rumah bulanan di Pulau Pinang dicatatkan bernilai RM6,502 dan kadar penyertaan tenaga buruh sebanyak 71.3 peratus.[34]

Pulau Pinang merupakan destinasi utama bagi pelabur asing di Malaysia, menguasai hampir 33 peratus daripada pelaburan langsung asing (FDI) negara pada 2023. Negeri ini juga merupakan pengeksport terbesar di Malaysia, dengan nilai lebih RM447 bilion atau 31 peratus daripada nilai eksport negara. Sektor perkhidmatan di negeri ini juga berkembang, dengan Pulau Pinang menjadi hab kedua paling penting di Malaysia untuk Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) dan menjadi pusat kewangan di kawasan barat laut negara. Indeks Pembangunan Manusia (IPM) Pulau Pinang juga dicatatkan sebanyak 0.83, keempat tertinggi di Malaysia.

Pengangkutan

Jambatan Pulau Pinang
Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang

Pulau Pinang dihubungkan dengan tanah besar Seberang Perai melalui dua jambatan, iaitu Jambatan Pulau Pinang yang berukuran 13.5 kilometer dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah yang berukuran 24 kilometer. Seberang Perai dihubungkan dengan bandar-bandar di pantai barat Semenanjung melalui Lebuhraya Utara Selatan. Antara jalan tol utama di Seberang Perai ialah Lingkaran Luar Butterworth dan Lebuhraya Butterworth–Kulim. Laluan kereta api Pantai Barat juga melalui Seberang Perai, menyediakan perkhidmatan KTM Komuter Utara dan KTM ETS yang menghubungkan enam stesen di Seberang Perai dengan Padang Besar dan Ipoh. Penang Sentral merupakan hab transit utama di negeri ini, yang terletak strategik berdekatan dengan Pangkalan Sultan Abdul Halim dan stesen keretapi Butterworth.

Antara lebuh raya utama di kawasan pulau ialah Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu yang berada di kawasan pesisir timur pulau. Jalan Lingkaran Dalam George Town pula berfungsi sebagai jalan utama di pusat bandar Georgetown. Laluan Persekutuan 6 pula merupakan jalan utama yang mengelilingi keseluruhan timur dan barat pulau. Kerajaan negeri juga mula membangunkan satu sistem transit aliran (LRT) yang digelar sebagai Laluan Mutiara, menghubungkan kawasan di timur pulau. Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang terletak 16 kilometer di selatan Georgetown. Ia merupakan lapangan terbang utama di utara Malaysia dan menyediakan kemudahan penerbangan antarabangsa ke London, Hong Kong, Singapura, Medan, Taipei, Bangkok, Seoul, Riau, Xiamen dan Guangzhou. Lapangan terbang ini juga merupakan lapangan terbang ketiga tersibuk di Malaysia mengikut trafik penumpang.

Pengangkutan feri juga merupakan penghubung antara kawasan pulau dan Seberang Perai, di mana pada asalnya merupakan satu-satunya penghubung sebelum pembinaan Jambatan Pulau Pinang pada 1985. Kini, pengangkutan feri masih wujud dengan empat feri menyeberangi Selat Pulau Pinang dalam sehari.

Pendidikan

Universiti Sains Malaysia

Sistem pendidikan Pulau Pinang berada di bawah seliaan kerajaan Persekutuan, sama seperti negeri lain. Umumnya terdapat dua jenis sekolah di Pulau Pinang, iaitu sekolah biasa dan sekolah vernakular yang mengutamakan penggunaan dan pengajaran Bahasa Mandarin dan Tamil. Kadar celik huruf Pulau Pinang merupakan ketiga tertinggi di Malaysia selepas Selangor dan Kuala Lumpur, iaitu dengan kadar 99.5 peratus pada 2014.[35] Terdapat 49 institusi pengajian tinggi, 13 sekolah antarabangsa, 128 sekolah menengah, 271 sekolah rendah dan 609 tadika di seluruh negeri Pulau Pinang.[36][37]

Universiti Sains Malaysia merupakan sebuah universiti awam di Pulau Pinang. Kebanyakan institusi pengajian tinggi di Pulau Pinang merupakan institusi swasta, antaranya termasuklah Universiti Terbuka Wawasan dan Kolej Universiti Komunikasi Han Chiang. Pulau Pinang juga menempatkan beberapa sekolah tertua di Malaysia, antaranya ialah Penang Free School, sekolah Inggeris tertua di Asia Tenggara dan beberapa sekolah lain yang didirikan semasa era British.

Kesihatan

Hospital Pulau Pinang yang terletak di Georgetown

Sistem kesihatan di Pulau Pinang terdiri daripada perkhidmatan hospital awam dan swasta. Hospital Pulau Pinang merupakan hospital kerajaan utama di negeri ini dan di kawasan utara Malaysia. Terdapat juga lima hospital awam lain di Pulau Pinang, kesemuanya di bawah seliaan Kementerian Kesihatan Malaysia. Pulau Pinang turut mempunyai 19 hospital swasta yang menawarkan khidmat pakar. Jumlah bilangan keseluruhan katil di semua hospital di Pulau Pinang ialah 4,329 buah atau hampir 250 katil per 10 ribu orang.[38] Pulau Pinang juga merupakan hab terkemuka di Malaysia bagi sektor pelancongan perubatan.[39]

Kebudayaan

Pelancong menaiki beca di Pulau Pinang

Pulau Pinang mempunyai warisan kebudayaan yang pelbagai, terdiri daripada kebudayaan masyarakat Melayu, Cina, India dan juga beberapa kebudayaan antarabangsa. Pelbagai festival dan sambutan perayaan disambut di Pulau Pinang termasuklah Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Thaipusam, Krismas, Wesak dan Songkran.[40] Pulau Pinang juga terkenal dengan Pesta Tanglung yang disambut masyarakat Peranakan Cina pada akhir sambutan Tahun Baru Cina dan Perarakan Chingay yang diadakan setiap tahun.[41] Kehadiran golongan ekspatriat juga telah membawa beberapa festival antarabangsa seperti Bon Odori, Hari Santo Patrick dan Oktoberfest.[42][43][44] Pulau Pinang turut mengadakan beberapa festival tahunan seperti Festival George Town.[45]

Pulau Pinang juga terkenal dengan beberapa seni pertunjukan dan tarian. Antaranya termasuklah Wayang Bangsawan iaitu sejenis teater Melayu yang turut menggabungkan pengaruh India, Cina, Islam dan Barat.[46] Boria merupakan antara persembahan lain yang berasal dari Pulau Pinang, menampilkan nyanyian diiringi biola, marakas dan tabla.[47] Warisan makanan Pulau Pinang juga dipengaruhi budaya Melayu, Cina, India, Peranakan dan Siam, terbukti dengan variasi makanannya seperti asam laksa, kuetiau dan nasi kandar. Georgetown juga telah menjadi salah satu bandar yang mempunyai makanan jalanan terbaik di Asia, dengan gelaran "pusat makanan Malaysia" oleh CNN.[48]

Variasi kebudayaan Pulau Pinang juga mempengaruhi seni bina bandar Georgetown, yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada tahun 2008.[49] Kepelbagaian budaya di Georgetown ditampilkan dengan binaan rumah kedai bersebelahan banglo Inggeris-India, masjid, kuil, gereja dan bangunan komersial bergaya Eropah. Budaya Siam dan Burma juga tampil di binaan beberapa kuil seperti Wat Chayamangkalaram dan Kek Lok Si. Georgetown juga terkenal dengan beberapa bangunan pencakar langit, termasuklah Komtar yang merupakan bangunan tertinggi di Pulau Pinang.

Penduduk terkenal

Lihat juga


Rujukan

  1. ^ "Laporan Kiraan Permulaan 2010". Jabatan Perangkaan Malaysia. m/s. 27. Diarkibkan daripada yang asal pada 8 Julai 2011. Dicapai pada 24 Januari 2011.
  2. ^ a b c d e f "Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020". Jabatan Perangkaan Malaysia. 2020. m/s. 40. Dicapai pada 2022-03-30.
  3. ^ "| Human Development Reports". hdr.undp.org.
  4. ^ https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/pdfPrev&id=d21BMHFxZFBIcFlCNExIYUQ1cE92Zz09
  5. ^ "Pulo Ka Satu : Warisan Sejarah Awal Persuratan Melayu Pulau Pinang" (PDF). Perpustakaan Negara Malaysia.
  6. ^ Larry, Sternstein. "The London Company's Envoys Plot Siam" (PDF). Siam Society: 37.
  7. ^ Ooi, Kee Beng (September 2012). "Penang before Francis Light (As the English Saw It in 1905)". Penang Monthly. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 December 2019. Dicapai pada 2 March 2018.
  8. ^ Haji Endut, Esmawee (November 1993). "Traditional Malaysian Built Forms: A Study on the Origins, Main Building Types, Development of Building Formd, Design Principles and the Application of Traditional Concepts in Modern Buildings" (PDF). Universiti Sheffield.
  9. ^ Liew, Jia Xian (12 Aug 2022). "5,000-Year-Old 'Penang Woman' Now Has a Face". The Star. Dicapai pada 11 Mar 2024.
  10. ^ "Prehistoric Human Skeleton Found at Penang Neolithic Site". TODAY. 19 April 2017. Dicapai pada 2017-04-29.
  11. ^ "Penang to Seek UNESCO Heritage Status for Guar Kepah Neolithic Site". The Star. 26 April 2017.
  12. ^ Freedman Leonard, Rousham Emily (1996). Perspectives in Human Biology: Humans in the Australasian Region. World Scientific. ISBN 978-981-4497-86-2.
  13. ^ Habibu, Sira (9 December 2013). "Lembah Bujang Covers a Larger Area". The Star.
  14. ^ Bisalputra, Pimpraphai; Sng, Jeffery (2020). "The Hokkien Rayas of Songkhla". Siam Society. 108 (1).
  15. ^ Hill, Ronald David (23 November 1839). "Plan of Prince of Wales Island and Province Wellesley". National Archives of Singapore. Ms copy by Poon Puay Kee. Diarkibkan daripada yang asal pada 16 October 2022. Dicapai pada 10 January 2024.
  16. ^ Moniot, Jules Michael (1860). "Map of Prince of Wales Island, or Pulo Penang and Province Wellesley including a Careful Survey of the South Channel". National Archives of Singapore. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 October 2022. Dicapai pada 10 January 2024.
  17. ^ Stanford, Edward (1870). "Map of Prince of Wales Island and Province Wellesley, Straits Settlements". National Archives of Singapore. Revised by Major J.F.A.McNair. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 October 2022. Dicapai pada 10 January 2024.
  18. ^ Allen, J. De V.; Stockwell, A. J.; Wright, L. R. (1981). "Documents Archive - Pangkor Engagement of 1874". Empire in Asia. Annotated by Aloysius Ng. National University of Singapore. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 November 2016. Dicapai pada 30 January 2023.
  19. ^ Jou, Michael Hsiao & Aveline-Dubach 2014, halaman 188
  20. ^ Lewis Su 2016, halaman 34
  21. ^ "Sejarah - Kerajaan Negeri Pulau Pinang". Dicapai pada 2022-03-31.
  22. ^ "Climatological Information for Penang, Malaysia". Hong Kong Observatory. Dicapai pada 2010-10-30.
  23. ^ "Pejabat TYT". Portal Rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-01-17.
  24. ^ Opalyn Mok (17 November 2023). "Penang PAS Chief Fauzi Yusof is New State Opposition Leader". Malay Mail. Dicapai pada 4 Disember 2023.
  25. ^ "Kependudukan Pulau Pinang" (PDF). Jabatan Perangkaan Malaysia Pulau Pinang. 2020. m/s. 1. Dicapai pada 2022-03-31.
  26. ^ "Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020". Jabatan Perangkaan Malaysia. 2020. m/s. 54. Dicapai pada 2022-03-30.
  27. ^ "Diplomatic and Consular List November 2023". Kementerian Luar Negeri Malaysia.
  28. ^ "Penang-Kanagawa Twin City Ties Renewed to Mark 20th Anniversary". The Star. 22 November 2011.
  29. ^ Christopher Tan (31 Mei 2019). "Malaysia-China Celebrate 45-year Strong Diplomatic Ties". Buletin Mutiara. Dicapai pada 13 Januari 2024.
  30. ^ "Key Findings of Population and Housing Census of Malaysia 2020" (pdf) (dalam bahasa Bahasa Melayu dan Inggeris). Jabatan Perangkaan Malaysia. ISBN 978-967-2000-85-3.
  31. ^ "Data siri masa banci penduduk dan perumahan, 1911-2000". Jabatan Perangkaan Malaysia. Putrajaya: 4. Dec 2006. ISBN 978-983-9044-29-4.
  32. ^ a b "Gross Domestic Product (GDP) by State, 2023". Jabatan Perangkaan Malaysia. 2 Julai 2024. Dicapai pada 2 Julai 2024.
  33. ^ "Laporan Sosioekonomi Negeri Pulau Pinang 2022". Jabatan Perangkaan Malaysia. Aug 2023. ISSN 2600-9854.
  34. ^ "Laporan Sosioekonomi Negeri Pulau Pinang 2023". Jabatan Perangkaan Malaysia. Aug 2024. ISSN 2600-9854.
  35. ^ "Malaysia Millennium Development Goals Report 2015" (PDF). Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Januari 2016. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 27 Ogos 2018. Dicapai pada 24 Mei 2017.
  36. ^ "Penang Statistics Quarter 2, 2020" (PDF). Penang Institute.
  37. ^ "My Local Stats Pulau Pinang 2021". Jabatan Perangkaan Malaysia. 27 November 2023. ISSN 2636-9001.
  38. ^ "Penang: Healthcare – Penang Institute". penanginstitute.org (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-02-02.
  39. ^ "Malaysia's Penang lures medical tourists from Indonesia". Nikkei Asia (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-02-02.
  40. ^ "Calendar of Events 2022" (PDF). Penang Global Tourism.
  41. ^ BERNAMA (2024-12-28). "Ribuan Pelancong, Masyarakat Pelbagai Kaum Meriahkan Perarakan Chingay Pulau Pinang". BERNAMA. Dicapai pada 2025-01-31.
  42. ^ "Information & Culture". Konsulat Jeneral Jepun di Pulau Pinang, Malaysia. Dicapai pada 7 Disember 2023.
  43. ^ N. Trisha (14 Mac 2016). "St Patrick's Day Celebrated with Merriment over Four Days". The Star. Dicapai pada 14 Mac 2016.
  44. ^ Jeremy Tan (9 Oktober 2010). "Oktoberfest Cheer in Penang". The Star. Dicapai pada 9 Oktober 2010.
  45. ^ Chen, May Yee (31 Julai 2014). "Old Colonial City in Malaysia Becomes a Stage". The New York Times. Dicapai pada 29 November 2017.
  46. ^ Hon, Yi Wen (13 Ogos 2007). "Keeping Bangsawan Alive". Malaysiakini. Dicapai pada 7 Disember 2023.
  47. ^ Opalyn Mok (30 Januari 2019). "The Story of How Boria Evolved from a Passion Play into Parody Theatre". Malay Mail. Dicapai pada 7 Disember 2023.
  48. ^ Cripps, Karla (13 Julai 2017). "George Town, Penang: Asia's Greatest Street Food City?". CNN.
  49. ^ "Melaka and George Town, Historic Cities of the Straits of Malacca". UNESCO. 7 Julai 2008. Dicapai pada 7 Julai 2008.
  • The Penang Tourism Action Council. "The 'Light' Years and Beyond" (2005).

Pautan luar