Sut balapan
Sut balapan (Jawi: سوت بالڤن , bahasa Inggeris: tracksuit[a] atau trackies; warm-up suit "pakaian pemanas badan"[b]) adalah kelengkapan sukan terdiri dari jaket berzip dan sepasang seluar mudah regang (sweatpants) yang menebat haba badan agar suhu sentiasa hangat semasa dan selepas kegiatan sukan (seperti senaman jasmani).[1] Kebanyakan sut balapan mempunyai lapisan berjaring yang membolehkan pemakai memakainya tanpa sebarang pakaian dalam.
Pada asalnya ia bertujuan terutamanya untuk keselesaan atlet lumba lari dan renang sambil menunggu pertandingan. Pada zaman moden, ia menjadi masyhur sebagai pakaian seharian terutamanya dalam kalangan peminat muzik hip-hop dan breakdance pada akhir 1980-an.[2] Ia dihasilkan daripada campuran selulosa triasetat dan poliester menghasilkan permukaan luar berkilat sambil membolehkan kepelbagaian warna ranggi dan tersendiri;[3] ia salah satu penggunaan terawal gentian sintetik dalam pakaian sukan.[4]
Sejarah fesyen
Seluar mudah regang untuk tujuan bersukan yakni sweatpants pertama kali dicipta oleh Le Coq Sportif, syarikat pengeluar pakaian sukan Perancis pada tahun 1920 sebagai pakaian menyelesakan dan memudahkan pergerakan kepada atlet.[5] Apabila seluar begini menjadi lebih biasa, Le Coq Sportif mereka Sunday suit menggabungkan dengan baju yang direka sepadan untuk kegunaan bersantai di rumah atau bersenam setiap hari.[1]
Sut balapan mula menjadi pakaian kasual yang popular pada tahun 1967 apabila Adidas mencipta pakaian pertama mereka dan memasarkannya dengan kerjasama pemain bola sepak Jerman Franz Beckenbauer. Koleksi Adidas Beckenbauer diikuti dengan kemunculan sut balapan dalam budaya pop, seperti Bruce Lee yang memakai sut balapan dalam Longstreet dan Game of Death.[1] Sut balapan dikaitkan dengan budaya belia pada masa itu, terutamanya golongan hipi dan pelajar universiti.[5]
Sut balapan pada masa itu diperbuat daripada kapas, poliester, kain teri, atau campuran. Pada akhir 1970-an, velor menjadi popular, sehinggakan ia menjadi jenis fabrik yang paling banyak digunakan pada sut balapan.
Budaya hip-hop juga menyumbang kepada kejayaan arus perdana sut balapan. Pada tahun 1986, Run DMC mengeluarkan lagu My Adidas, dengan video muzik yang menampilkan kumpulan itu memakai sut balapan berjenama Adidas secara jelas, seterusnya mengaitkan sut balapan dengan hip-hop.[5]
Trend memakai pakaian atletik berterusan sehingga awal 1980-an. Sut balapan akhirnya digantikan dengan shellsuit, yang diperbuat daripada nilon, pada akhir 1980-an. Trend ini tidak bertahan lama, hanya beberapa tahun sahaja.
Di United Kingdom, sut balapan menjadi popular disebabkan oleh tabik hormat Kuasa Hitam oleh Tommie Smith dan John Carlos semasa Sukan Olimpik 1968 dan sut balapan Jamaica Bob Marley. Lelaki muda kelas pekerja berkulit putih di UK sering memakai sut balapan ke perlawanan bola sepak pada tahun 1980-an, dan pakaian itu dikaitkan dengan tindakan buas bola sepak pada masa itu.[1]
Pada akhir 1990-an, sut balapan kembali menjadi fesyen arus perdana untuk lelaki dan wanita. Ia kembali kepada fabrik tahun 1970-an, terutamanya poliester. Trend ini berterusan hingga tahun 2000-an, di mana velor membuat kemunculan semula, oleh jenama seperti Juicy Couture dan jenama lain. Ini berterusan untuk sebahagian besar dekad tersebut. Sut balapan dengan ringkasnya tidak lagi menjadi fesyen pada akhir 2000-an, muncul semula pada 2010-an dengan trend sukan santai.[6][7]
Bermula pada awal 2000-an, sut balapan telah dikaitkan dengan muzik grime di UK dan budaya yang berkaitan dengannya. Ini telah menyebabkan gaya pakaian itu dikaitkan dalam media arus perdana dengan budaya geng negara itu; walau bagaimanapun, pemuzik grime seperti Stormzy secara terbuka telah menjauhkan diri daripadanya.[8]
Sejak 2006, pereka fesyen terkemuka telah diminta untuk mereka sut balapan untuk atlet pelbagai pasukan Olimpik, biasanya semua atlet yang mewakili satu negara. Sebagai contoh, pereka Ralph Lauren mencipta pakaian seragam AS untuk upacara pembukaan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2010.[9] Syarikat pakaian sukan Adidas mengupah Stella McCartney untuk menjadi pengarah kreatif untuk Sukan Olimpik GB 2012 (oleh Adidas)—kali pertama dalam sejarah sukan itu seorang pereka fesyen terkemuka telah mereka pakaian untuk pasukan sesebuah negara merentas semua pertandingan untuk kedua-dua Sukan Olimpik dan Paralimpik.[10]
Dalam negara Malaysia, pelajar di peringkat sekolah rendah dan menengah secara rasmi dikehendaki memakai seluar trek berserta dengan baju-T sebagai sebahagian daripada pakaian seragam mereka untuk aktiviti sukan. Selain itu, orang awam juga menggabungkan seluar trek dalam pakaian mereka untuk tujuan berkaitan sukan, menunjukkan kepelbagaian dan penerimaannya yang meluas.
Galeri
-
Contoh sur trek yang digunakan sebagai pakaian kasual bergaya
-
Gimnas Rusia bernama Viktoria Komova memakai sut balapan
-
Cerasela Pătrașcu, semasa Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia 2010, memakai warna bendera Romania pada sut balapannya.
-
Pasukan sofbol wanita Olimpik Australia di perarakan sambutan pulang di Sydney, 2008
-
Penyanyi rap Sepanyol Morad memakai sut balapan semasa konsert
-
Jaket shell suit diperbuat daripada kain nilon berwarna-warni
Nota
- ^ dalam bahasa Melayu, istilah tracksuit kadang-kadang merujuk secara khusus kepada bahagian seluar dalam persalinan ini sendiri yang lebih tepat diterangkan dalam bahasa Inggeris sebagai windpant atau track pants, malah Kamus Dewan Perdana turut mencatatkan takrifan demikian sebagai "seluar yang diperbuat daripada poliester, nilon, atau bahan yang serupa, yang dipakai untuk aktiviti sukan".
- ^ juga disingkatkan kepada warmups
Rujukan
- ^ a b c d Abraha, Magdalene (18 March 2021). "The Tracksuit Has Been Evolving For Almost a Century". VICE (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 19 November 2024.
- ^ "History of The Shellsuit" (dalam bahasa Inggeris). Iloveshellsuits.com. Dicapai pada 2012-10-06.
- ^ "Fitness Fashion History after 1960" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2013-05-02.
- ^ Craik, Jennifer (2005). Uniforms Exposed (Dress, Body, Culture) (dalam bahasa Inggeris). Oxford, UK: Berg Publishers. m/s. 171. ISBN 978-1-85973-804-7.
- ^ a b c "The history of sweatpants, joggers & tracksuits". SANVT (dalam bahasa Inggeris). 28 April 2023. Dicapai pada 19 November 2024.
- ^ Ma, Julie. "Celebrities Wearing Tracksuits". The Cut (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2018-06-26.
- ^ Cheng, Andria. "The Athleisure Trend Isn't Taking A Rest". Forbes (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2018-06-26.
- ^ Amin, Ruhi Parmar (31 January 2019). "THE EVOLUTION OF: TRACKSUITS – HOW UK GRIME TRANSFORMED THE SPORTSWEAR CLASSIC" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 26 September 2020.
- ^ "Olympics 2012: Ralph Lauren reveals U.S. team opening ceremony outfits" (dalam bahasa Inggeris). Latimesblogs.latimes.com. 2012-07-10. Dicapai pada 2014-03-23.
- ^ Zoe Beaty (2012-03-22). "Stella McCartney Unveils 2012 Olympics Kit! | Grazia Fashion" (dalam bahasa Inggeris). Graziadaily.co.uk. Dicapai pada 2014-03-23.