Anjing Dalmatia

Anjing Dalmatia
Nama lainDalmatian
Nama ringkasAnjing pedati
Anjing kereta kuda bertompok
Anjing pedati harimau bintang
Anjing bomba
Plum pudding dog
Negara asalCroatia
Trait
Tinggi Jantan 58–61 cm (23–24 in)[1]
Bulu Licin, pendek
Warna Latar putih dengan tompok hitam atau perang. Anjing bertompok hitam sentiasa berhidung hitam dan yang bertompok perang berhidung perang. Tompok lemon, biru, brindle, atau triwarna kadang-kadang muncul tetapi bukan warna yang diterima. Putih kosong juga diterima tetapi agak jarang juga.
Jangka hayat 10–12 tahun (purata: 8–11)
Anjing (Canis lupus familiaris)

Anjing Dalmatia atau dalmatian (Sebutan bahasa Melayu: [dalmeʃən])[a] ialah satu baka anjing[2] yang mempunyai lapis bulu putih yang bertanda dengan tompok berwarna hitam atau perang. Anjing ini, yang berasal sebagai anjing pemburu,[3] juga digunakan sebagai anjing pedati pada zaman awalnya. Asal usul baka ini dapat dijejak kembali ke Croatia zaman kini dan bekas wilayah Dalmatia.[4] Ada sangkaan bahawa leluhur awal baka ini merupakan baka tertentu pointer dan anjing besar Denmark bertompok.[5] Kini, ia merupakan anjing peliharaan popular dan ramai penggemar memasukkan dalmatian ke dalam pertandingan kelab kenel.

Ciri

Seekor dalmatian perang betina

Tubuh

Anjing Dalmatia ialah anjing berotot dengan daya ketahanan dan stamina cemerlang.[2] Apabila sepenuhnya dewasa, menurut piawaian baka American Kennel Club (AKC), ia berdiri setinggi 19–23 inci (48–58 cm).[6]

Bulu

Anak anjing Dalmatian lahir dengan lapis bulu putih kosong dan tompok pertama biasanya muncul dalam 10 hari; walau bagaimanapun, tompok mungkin juga terlihat sejak lahir. Tompok terus berkembang sehingga anjing berusia sekitar 18 bulan. Tompok biasanya bersaiz 2–6 in (51–152 mm) dan paling umumnya berwarna hitam atau hati (perang) pada latar putih. Warna hati ialah warna resesif pada dalmatian, iaitu kedua-dua induk perlu membawa gen warna hati untuk menghasilkan anjing dengan warna ini. Jika kedua-dua induk berwarna hati, semua anak anjing juga bakal bertompok berwarna hati. Anjing bertompok hitam sentiasa memiliki hidung hitam, dan anjing bertompok berwarna hati sentiasa memiliki hidung perang.

Warna lain yang hadir kadang-kadang termasuklah biru (warna kelabu kebiru-biruan), brindle, mozaik, jingga, atau lemon (antara kuning tua dengan kuning muda), atau triwarna (dengan tompok hitam, perang, dan jingga atau lemon). Jingga dan lemon hadir paling kerap, terutamanya di Amerika, dan merupakan padanan warna cair bagi warna piawai. Warna-warna ini ditakrifkan sebagai jingga atau lemon bergantung pada hidung anjing.

Lagi satu pola pewarnaan ialah tompok warna padu lebih besar yang muncul di mana-mana pada tubuh, namun paling kerap di kepala, di telinga, atau di ekor. Tompok-tompoknya terlihat sejak lahir dan bukan sekelompok tompok terhubung; tompok-tompok ini dikenal pasti melalui pinggir lembut bagi tompok berkenaan dan tiada bulu putih berjalin di dalam tompok itu.[7] Individu putih tulen tanpa tompok juga hadir kadang-kadang.

Bulu dalmatian biasanya pendek, halus, dan padat; walau bagaimanapun anjing Dalmatia berbulu licin kadang-kadang menghasilkan anak berbulu panjang. Anjing Dalmatian berbulu panjang tidak diterima dalam piawaian baka, namun individu-individu ini mengalami kurang ganti bulu berbanding anjing berbulu licin, yang berganti bulu kira-kira sepanjang tahun. Bulu pendek dan kaku bagi keragaman piawai kerap menjalin ke dalam permaidani, pakaian, upholsteri, dan hampir sebarang jenis kain dan mungkin sukar ditanggalkan. Penjagaan bulu mingguan dengan mit anjing atau kerok dapat mengurangkan jumlah bulu yang digugurkan oleh dalmatia, walaupun tiada yang dapat sepenuhnya menghalang ganti bulu. Oleh sebab minyak yang sangat sedikit pada lapis bulunya, anjing Dalmatia kurang mempunyai bau anjing dan kekal agak bersih berbanding dengan banyak baka lain.[8][9]

Dalmatian dengan asid urik rendah (LUA, low uric acid) biasanya memiliki tompok lebih kecil, yang tidak mempunyai pigmen sekuat yang pada dalmatian piawai.[perlu rujukan] Para pembiak baka LUA sedang berusaha untuk menangani aspek ini tetapi masih tetap ada kemungkinan untuk memilih anjing LUA daripada barisan.

Saiz perinduk

Anjing Dalmatia biasanya mempunyai perinduk yang terdiri daripada enam hingga sembilan ekor anak anjing.[10]

Kesihatan

Anjing Dalmatian bermata biru dan perang

Seperti baka lain, anjing Dalmatian memaparkan kecenderung terhadap masalah kesihatan tertentu yang spesifik terhadap baka ini, seperti kepekakan, alahan, dan karang kencing. Para pembiak baka bereputasi baik menguji anak-anak anjing untuk BAER (brainstem auditory evoked response, "respons terangsang pendengaran batang otak") untuk memastikan status pendengaran pada anak-anak anjing.[perlu rujukan] The Dalmatian Club of America menyenaraikan purata jangka hayat bagi anjing Dalmatia pada antara 11 dengan 13 tahun, walaupun sesetengah mampu hidup sampai 15 hingga 16 tahun.[11] Tinjauan kesihatan baka di Amerika Syarikat dan di United Kingdom menunjukkan purata jangka hayat sebanyak 9.9 tahun dan 11.55 tahun untuk negara masing-masing.[12][13] Pada usia remaja, kedua-dua jantan dan betina mungkin menderitai eksostosis dan keadaan artritis. Tiroiditis autoimun mungkin merupakan keadaan agak umum untuk baki ini, sehingga menjejaskan 11.6% daripada populasi anjing.[14]

Kepekakan

Kecenderungan genetik untuk kepekakan ialah masalah kesihatan serius untuk anjing Dalmatia; Dalmatian di Amerika Syarikat menunjukkan prevalens untuk kepekakan sensoneural kongenital dwisisi sebanyak 8% (yang tidak mempunyai rawatan untuknya), berbanding dengan 5.3% untuk populasi di United Kingdom. Kepekakan tidak dikenal pasti oleh para pembiak baka awal. Maka, baka ini disangkakan tidak cerdik. Ramai pembiak baka, apabila ujian pendengaran mula menjadi kelaziman, kagum apabila menemukan bahawa mereka memiliki anjing dengan pendengaran ekasisi. Malah selepas masalah ini dikenal pasti sebagai masalah kecacatan genetik, para pembiak baka tidak memahami sifat anjing ini, dan kepekakan pada anjing Dalmatia terus menjadi masalah kerap.[perlu rujukan]

Para penyelidik kini tahu bahawa kepekakan pada haiwan balar dan bertompok hitam putih disebabkan oleh ketiadaan melanosit matang di bahagian telinga dalam.[15] Ini mungkin menjejaskan salah satu telinga atau kedua-duanya. Keadaan ini juga umum pada baka anjing lain yang mengongsi kecenderungan genetik untuk pempigmenan cerah. Baka-baka yang terjejas termasuklah bulterier, dogo Argentina, pudel, bokser, collie sempadan, dan anjing besar Denmark.[perlu rujukan]

Biasanya, hanya anjing dengan pendengaran dwisisi dibiakbakakan, namun yang dengan pendengaran ekasisi, dan malah anjing dengan kepekakan dwisisi juga, dapat dijadikan anjing peliharaan baik dengan pelatihan sesuai.[8] Perbezaan utama, dan paling ketara, pada anjing dengan pendengaran ekasisi ialah anjing ini tidak memiliki pendengaran dwiarah; namun anjing berkenaan masih dapat mendengar seseorang, tetapi tidak dapat menentukan arah kedatangan orang tersebut.[[:]] Pendirian The Dalmatian Club of America ialah bahawa anjing ini tidak patut digunakan untuk pembiakbakaan dan bahawa eutanasia berperikemanusiaan mungkin dipertimbangkan sebagai "alternatif kepada penempatan". British Dalmatian Club hanya mengesyorkan pembelian anak anjing yang sudah teruji dengan BAER, dan menyeru agar semua ahli menyediakan hasil ujian BAER bagi anak-anak anjing mereka supaya statistik sebenar bagi kepekakan dapat diteliti.[16]

Telah ada pembuktian bahawa pewarisan gen tompok hitam-putih ekstrem menyebabkan mata biru. Maka, pembiakbakaan anjing Dalmatia bermata sangat tidak digalakkan walaupun jika berpendengaran lengkap.[17] Di United Kingdom, mata biru dianggap sebagai kecacatan piawaian baka. Maka, anjing Dalmatia bermata biru tidak dianugerahi di dalam gelanggang pertunjukan.[18]

Displasia pinggul

Walaupun tiada bukti atau data sokongan statistik[19] yang mencadangkan bahawa displasia pinggul merupakan satu lagi penyakit yang menjejaskan anjing Dalmatia, sesetengah blog menyatakan bahawa penyakit ini menjejaskan hampir 5% daripada populasi anjing Dalmatia baka tulen,[20] yang menyebabkan penderitanya mengalami ketempangan, kelesuan, nyeri sederhana hingga parah, dan kesukaran untuk berdiri. Walaupun data ini tidak tersedia, anjing Dalmati yang akhirnya menderitai displasia pinggul dipercayai lahir dengan pinggul normal, namun tisu-tisu lembut yang mengelilingi sendi tumbuh secara abnormal oleh sebab komposisi genetiknya. Penyakit ini dapat menjejaskan kedua-dua pinggul atau salah satu pinggul sahaja, lalu menyebabkan anjing terjejas berjalan atau berlari dengan gaya jalan terubah.[21] Laporan sains paling banyak dikutip tentang displasia pinggul anjing mengecualikan anjing Dalmatia daripada senarai baka yang biasanya terjejas kerana penyakit itu.[22]

Hiperurisemia

Potret anjing Dalmatia

Anjing Dalmatia, seperti manusia, dapat menderitai hiperurisemia.[23] Hati anjing Dalmatia mengalami kesukaran untuk penguraian asid urik, yang dapat menumpuk di dalam serum darah (hiperurisemia), lalu menyebabkan gout. Asid urik juga dapat dikumuhkan dengan kepekatan tinggi ke dalam air kencing, lalu menyebabkan karang ginjal dan batu pundi kencing. Keadaan-keadaan ini paling mungkin terjadi pada jantan pertengahan usia. Jantan berusia lebih daripada sepuluh tahun terdedah kepada karang ginjal dan patut mengurangkan pengambilan kalsium atau diberi ubat pencegah.[24] Untuk mengurangkan risiko gout dan karang, para pemilik patut dengan berhati-hati mengehadkan pengambilan purina dengan mengelakkan pemberian makanan yang mengandungi isi organ, produk sampingan haiwan, atau ramuan berpurina tinggi kepada anjing. Hiperurisemia pada anjing Dalmatia berespons terhadap rawatan dengan orgotein, iaitu rumusan veterinar bagi enzim antioksidan superoksida dismutase.[25]

Projek Silang Balik Anjing Dalmatia–Anjing Penuding Inggeris

Hiperurisemia pada anjing Dalmatia (sebagaimana pada semua baka) diwarisi, tetapi tidak seperti baka lain, gen normal untuk pengangkut asid urik, yang membolehkan asid urik memasuki sel-sel hati dan kemudian diuraikan, tidak hadir dalam takungan gen baka ini. Maka, tiada kemungkinan bagi pembasmian hiperurisemia dalam kalangan anjing Dalmatia baka tulen. Satu-satu jalan penyelesaian yang mungkin untuk masalah ini mestilah penyilangkan anjing Dalmatia dengan baka lain untuk memperkenalkan gen pengangkut asid urik normal semula. Hal ini membawa kepada pengasasan Projek Silang Balik Anjing Dalmatia–Anjing Penuding Inggeris, yang bertujuan untuk memperkenalkan gen pengangkut asid urik normal semula ke dalam baka anjing Dalmatia. Silang balik ini menggunakan seekor anjing penuding Inggeris tunggal; semua pembiakbakaan lanjut melibatkan anjing Dalmatia baka tulen. Projek ini bermula pada tahun 1973 oleh Dr. Robert Schaible. Hibrid silangan pertama (F1) tidak menyerupai anjing Dalmatia dengan sangat dekat. F1 kemudiannya disilangkan kembali dengan anjing baka tulen. Pembiakbakaan ini menghasilkan anak-anak anjing dengan keserupaan lebih dekat dengan anjing Dalmatia tulen. Menjelang generasi kelima pada tahun 1981, anjing-anjing yang dihasilkan sangat serupa dengan anjing baka tulen, Presiden AKC pada masa itu, William F. Stifel, menyatakan, "Jika ada cara logik dan saintifik untuk membetulkan masalah-masalah kesihatan genetik yang berhubung kait dengan trait-trait baka tertentu dan masih mengekalkan keutuhan piawaian baka, American Kennel Club berkewajipan untuk memimpin caranya."[26] Lembaga pengarah The Dalmatian Club of America (DCA) menyokong keputusan ini; walau bagaimanapun, hal ini segera menjadi sangat berkontroversi dalam kalangan anggota kelab. Suatu undian oleh anggota-anggota DCA menentang pendaftaran hibrid-hibrid ini, lalu menyebabkan AKC mengharamkan pendaftaran kepada mana-mana anak kepada anjing ini.[27][28]

Pada mesyuarat agung tahunan DCA pada Mei 2006, isu silang balik dibahaskan lagi oleh para anggota kelab. Pada Jun tahun sama, anggota-anggota DCA diberi perbentangan peluang untuk mengundi sama ada untuk membuka perbincangan tentang Projek Silang Balik Anjing Dalmatia semula. Hasil keputusan pengundian hampir-hampir 2:1 untuk menyokong penyemakan semula sokongan kepada projek oleh DCA. Hal ini telah bermula dengan penerbitan rencana-rencana yang membentangkan lebih maklumat tentang kedua-dua sokongan dan bantahan kepada keperluan untuk projek ini. Pada Julai 2011, AKC bersetuju untuk mengizinkan pendaftaran bagi anjing Dalmatia silang balik.[29]

Pada tahun 2010, The Kennel Club di United Kingdom mendaftarkan seekor anjing Dalmatia silang balik yang dipanggil Ch. Fiacre's First and Foremost. Beberapa batasan dikenakan terhadap anjing ini. Sungguhpun anjing ini sudah sejauh 13 generasi daripada silangan anjing penuding Inggeris asli, keturunan F1 hingga F3-nya bakal ditanda pada sijil pendaftaran dengan asterisk (yang "menandakan pembiakbakaan tidak tulen atau tidak tentu sah"[30]), iaitu tiada anak yang bakal layak dieksport sebagai anjing pedigri selama lima tahun berikut, dan semua anjing perlu diuji untuk kesihatan.[31] Kelab-kelab baka anjing Dalmatia United Kingdom telah membantah keputusan oleh The Kennel Club.[32]

Masih ada ramai orang yang membantah projek ini kerana hakikat bahawa anjing-anjing ini bukan anjing Dalmatia tulen. Sehingga tiada lagi kebolehan untuk membezakan antara anjing LUA dengan anjing HUA, hal ini mungkin sekali kekal. Perbezaan antara kedua-duanya sangat jelas kepada mata kasar, sehingga dapat segera dikenal pasti. Anjing Dalmatia LUA mempunyai tompok-tompok lebih kecil dan pigmen lebih lemah. Anjing-anjing ini juga lebih lembut kepada sentuhan dan bergerak dengan lebih tinggi di atas jari kaki sebagaimana yang dilakukan oleh anjing penuding Inggeris. Ramai pempamer anjing Dalmatia berpendapat bahawa sudah patut ada baka terpisah yang ditetapkan untuk mereka, supaya tiada persaingan dengan anjing Dalmatia tulen.

Walaupun anjing Dalmatia LUA tidak akan menghidap karang kencing, ia masih dapat menghidap jenis-jenis lain.

Projek Warisan Anjing Dalmatia

Projek Warisan Anjing Dalmatia bermula pada tahun 2005. Matlamat projek ini adalah untuk memulihara dan memperbaik bak anjing Dalmatia dengan membiakbakakan anjing-anjing induk dengan trait-trait berikut:

  • Metabolisme kencing normal
  • Pendengaran dwisisi
  • Ramah dan yakin

Semua anak anjing dalam projek warisan ini merupakan keturunan bagi susur galur induk Dr. Robert Schaible. Kini, "susur galur Dr. Schaible menghasilkan satu-satu kelompok anjing Dalmatia di dunia kini yang bebas daripada kecacatan metabolisme yang dapat membawa kepada masalah-masalah salur kencing."[33]

Sejarah

Francesco di Cosimo II de' Medici (1614–1634) dengan seekor dalmatian, dilukis oleh Justus Sustermans

FCI mengiktiraf Croatia sebagai negara asalnya, dengan mengutip beberapa sumber bersejarah.[34]

Rujukan bertulis terkenal pertama kepada anjing Dalmatia adalah dari tahun 1375, apabila Peter, Uskup Đakovo, menyebut tentang anjing pemburu yang terutamanya ditemukan di Dalmatia, dengan bulu putih pendek dan tompok bulat hitam pada pelbagai bahagian badan, dan menamai baka ini Canis Dalmaticus.[35] Ilustrai terawal bagi baka ini telah ditemukan di Croatia, iaitu sebuah lukisan mazbah di Veli Lošinj yang bertarikh kembali ke tahun 1600–1630, dan sebuah lukisan fresko di Zaostrog.[34] Perihal berdokumen tentu pertama bagi anjing Dalmatia dijejak kembali ke awal abad ke-18 dan kepada arkib-arkib Keuskupan Agung Đakovo, dengan sebutan dan perihal anjing ini sebagai Canis Dalmaticus dalam babad-babad gereja dari tahun 1719 yang ditulis oleh Uskup Petar Bakić dan kemudian lagi dalam babad-babad gereja yang ditulis oleh Andreas Keczkeméty pada tahun 1739.[34] Pada tahun 1771, Thomas Pennant memerihalkan baka ini dalam buku beliau Synopsis of Quadrupeds ("Sinopsis Kuadruped"), dengan tulisan bahawa asal usul baka ini adalah dari Dalmatia; beliau merujuknya sebagai dalmatian ("(anjing) Dalmatia").[34] Buku oleh Thomas Bewick, A General History of Quadrupeds ("Sejarah Umum Kuadruped"), yang diterbitkan pada tahun 1790 merujuk baka ini sebagai dalmatian or coach dog ("(anjing) Dalmatia atau anjing pedati").[34]

Semasa Zaman Keregenan, anjing Dalmatia menjadi lambang status dan anjing dengan tompok hiasan sangat dihargai. Baka ini juga digunakan untuk menjaga kandang kuda pada waktu malam.[36]

Baka ini telah dikembangkan dan diusahakan terutamanya di England.[34] Piawaian tidak rasmi pertama untuk baka ini diperkenalkan oleh seorang Inggeris, Vero Shaw, pada tahun 1882.[34] Pada tahun 1890, dengan pembentukan Kelab Dalmatian pertama di England, piawaian ini menjadi rasmi.[34] Apabila anjing dengan tanda-tanda distingtif pertama kali ditunjukkan di England pada tahun 1862, ia dikatakan pernah digunakan sebagai anjing penjaga dan pendamping kepada orang nomad di Dalmatia. Lapis bulu unik baka ini menjadi popular dan tersebar meluas di serata benua Eropah mulai tahun 1920. Tanda-tanda luar biasanya kerap disebut oleh para penulis lama mengenai kinologi.[37]

Tugas

Seekor dalmatian, diterbitkan pada tahun 1859

Peranan baka ini berbeza-beza seperti peranan leluhurnya. Ia digunakan sebagai anjing pemburu, anjing perang, dan anjing pengawal sempadan Dalmatia.[35] Sehingga kini, baka ini mengekalkan naluri penjagaan tinggi; namun ramah dan setia kepada yang dikenali dan dipercayai oleh anjing ini, ia kerap menjauhi orang asing dan anjing yang tidak dikenali. Anjing Dalmatia mempunyai naluri perburuan kuat dan merupakan pembasmi cemerlang terhadap tikus dan haiwan perosak. Dalam sukan, ia juga telah digunakan sebagai anjing pemburu burung, anjing pemburu jejak, anjing pengutip, atau dalam kawanan untuk pemburuan babi hutan atau rusa. Tanda-tanda dramatiknya dan kecerdasannya telah menjadikannya anjing sarkas berjaya selama bertahun-tahun.

Anjing Dalmatia barang kali paling terkenal kerana kerja untuk angkatan bomba atas peranannya sebagai pendamping perkakas pemadaman kebakaran dan maskot balai bomba. Oleh sebab anjing Dalmatia dan kuda sangat serasi, anjing ini mudah dilatih untuk berlari di hadapan pedati untuk mengosongkan laluan dan cepat-cepat membimbing kuda dan ahli bomba ke arah kebakaran.[38]

Anjing Dalmatia kerap dianggap sebagai anjing penjaga bagus, dan mungkin pernah berguna kepada angkatan bomba sebagai anjing pengawal untuk melindungi balai bomba dan perkakasannya. Kenderaan bomba pernah ditarik oleh kuda pantas dan berkuasa, yang merupakan sasaran menarik untuk pencuri. Maka, anjing Dalmatia dibela di balai bomba sebagai pencegah pencurian.[38]

Dalam kebudayaan popular

Dalmatian dalam perarakan khidmat bomba

Pemadaman kebakaran

Anjing Dalmatian dihubungkaitkan dengan pemadaman kebakaran, terutamanya di Amerika Syarikat. Pada zaman perkakasan pemadaman kebakaran tarikan kuda, anjing menjaga kuda, yang mudah menjadi tidak selesa di tapak kebakaran.[39] Anjing Dalmatia merupakan baka popular untuk kerja ini, oleh sebab kesemendaan semula jadinya dengan kuda dan sejarah penggunaannya sebagai anjing pedati.[38] Peranan ini menjadi kurang penting sebaik perkakasan pemadaman kebakaran tarikan kuda digantikan dengan yang berkuasa wap dan berkuasa diesel. Oleh sebab sejarahnya, anjing Dalmatia kerpa berkhidmat sebagai maskot untuk khidmat bomba dan masih dipilih oleh ramai ahli bomba sebagai anjing peliharaan.[40]

Anheuser-Busch

Dalmatian Clydesdale Budweiser

Anjing Dalmatia juga dihubungkaitkan, terutamanya di Amerika Syarikat, dengan bir Budweiser dan taman-taman tema Busch Gardens, kerana kereta bir ikonik syarikat Anheuser-Busch, yang ditarik oleh sepasukan kuda Clydesdale, sentiasa ditemani oleh seekor anjing Dalmatia. Syarikat ini mengekalkan sebilangan pasukan di beberapa lokasi, yang melawat secara meluas. Anjing Dalmatia dahulunya pernah digunakan oleh para pembuat bir untuk menjaga kereta semasa pemandunya melakukan penghantaran.[41]

101 Dalmatians

Baka dalmatian mengalami pusuan besar dari segi kepopularan sebagai hasil daripada novel tahun 1956, The Hundred and One Dalmatians, yang dikarang oleh penulis British, Dodie Smith, dan kemudian kerana dua buah filem Walt Disney yang berdasarkan buku itu. Filem animasi Disney,[42] yang dikeluarkan pada tahun 1961, kemudian membawa kepada versi lakonan hidup tahun 1996, 101 Dalmatians. Pada tahun-tahun berikutnya, terdapat pengeluaran susulannya, 102 Dalmatians, pada tahun 2000. Pada tahun 2019, Disney membikin siri 101 Dalmatian Street. Baka ini menderita dengan parah akibat para pembiak baka yang tidak bertanggungjawab dan para pemilik yang tidak berpengalaman.[perlu rujukan] Ramai penggemar berniat baik membeli anjing Dalmatia—kerap untuk kanak-kanak—tanpa pendidikan diri tentang baka ini dan tanggungjawab yang hadir bersama dengan pemilikan baka anjing dengan tenaga begitu tinggi.[43]Semua rencana kekurangan rujukan yang boleh dipercayai[sumber lebih baik diperlukan] Anjing Dalmatia ditinggalkan dalam angka yang besar oleh para pemilik asli dan dibiarkan dengan tempat perlindungan haiwan. Hasilnya, pertubuhan-pertubuhan penyelamatan anjing Dalmatia muncul untuk menjaga anjing yang tidak dikehendaki dan mencari rumah baharu untuk anjing. Pendaftaran AKC bagi anjing Dalmatia menurun sebanyak 90% semasa tempoh 2000–2010.[44]

Lou Dog

Salah seekor anjing Dalmatia terkenal dalam kebudayaan popular ialah Louie atau "Lou Dog", maskot kugiran Sublime. Lou Dog, yang diadopsi oleh penyanyi, Bradley Nowell, pada tahun 1990 sebagai anak anjing, kemudian menjadi sebahagian penting bagi imej Sublim, yang kerap mundar-mandir di pentas semasa kugiran sedang bermain serta muncul dalam video-video muzik kugiran ini. Sebagai tambahan, Nowell kerap merujuk Louie dalam seni kata lagu. Salah satu contohnya ada dalam lagu paling popular kugiran ini, "What I Got" ("...livin' with Louie Dog's the only way to stay sane").

Selepas kematian Nowell, Lou Dog dijaga oleh pengurus kugiran sehingga kematian Lou pada tahun 2001.[45]

PAW Patrol

Siri animasi televisyen popular Kanada ini menonjolkan seekor dalmatian sebagai salah satu watak utama, iaitu Marshall, yang merupakan ahli bomba dan paramedik.

Lihat juga

Catatan

  1. ^ Jawi: انجيڠ دلميشا; دلميشن; Croatia: dalmatinski pas; dalmatinac; dalmatiner; bahasa Inggeris: Dalmatian dog; dalmatian

Rujukan

  1. ^ "Dalmatian breed standard" (dalam bahasa Inggeris). The Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 19 Januari 2015. Dicapai pada 23 Disember 2023.
  2. ^ a b "Dalmatian (dog)" (dalam bahasa Inggeris). thekennelclub.org.uk.
  3. ^ Milivoje Urošević; (2018) Basic morphometric parameters of the Dalmatian dog (Canis dalmaticus) hlm. 187; {Međunarodne kinološke federacije (FCI, 2017.) koja ovu pasminu svrstava u šestu grupu, grupu goniča.. Persekutuan Kinologi Antarabangsa (FCI, 2017) mengelaskan baka ini dalam Kumpulan 6, Hound.} [1]
  4. ^ "Dalmatian | Characteristics, Temperament, & Facts | Britannica". www.britannica.com (dalam bahasa Inggeris). 24 Mei 2023. Dicapai pada 23 Disember 2023.
  5. ^ "Dalmatian PetMD" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 23 Disember 2023.
  6. ^ "American Kennel Club – Dalmatian". Akc.org. Dicapai pada 24 Disember 2023.
  7. ^ "Breed Faults" (dalam bahasa Inggeris).
  8. ^ a b Thornton, Kim Campbell. "THE DALMATIAN". Dog World 89.11 (2004): 24.
  9. ^ "American Kennel Club – Dalmatian". Akc.org. Dicapai pada 24 Disember 2023.
  10. ^ "The Dalmatian Club of America Health Survey Results: General Dog Information" (dalam bahasa Inggeris). The Dalmatian Club of America. Dicapai pada 24 Disember 2023.
  11. ^ "The Red Book: The Dalmatian Club of America's Informational brochure regarding Dalmatians" (dalam bahasa Inggeris). The Dalmatian Club of America. Dicapai pada 24 Disember 2023.
  12. ^ "The Dalmatian Club of America Health Survey Results: Health Related Conditions" (dalam bahasa Inggeris). The Dalmatian Club of America. Dicapai pada 24 Disember 2023.
  13. ^ "Summary results for the purebred dog health survey for Dalmatians" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). The Kennel Club. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 23 April 2015. Dicapai pada 24 Disember 2023.
  14. ^ "OFA: Thyroid Statistics" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 30 Mei 2013. Dicapai pada 24 Disember 2023.
  15. ^ Proctor PH (1988). "Free Radicals and Human Disease". Dalam Weber HH, Miquel J, Quintanilha AT (penyunting). Handbook of free radicals and antioxidants in biomedicine (dalam bahasa Inggeris). 1. Boca Raton: CRC Press. m/s. 209–221. ISBN 978-0-8493-3268-5.
  16. ^ "British Dalmatian Club - Hearing". www.britishdalmatianclub.org.uk (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 24 Disember 2023.
  17. ^ [2]
  18. ^ "Dalmatian | Breed Standards | The Kennel Club". www.thekennelclub.org.uk (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 24 Disember 2023.
  19. ^ Vasiliadis, Danae; Metzger, Julia; Distl, Ottmar (Disember 2020). "Demographic assessment of the Dalmatian dog – effective population size, linkage disequilibrium, and inbreeding coefficients". Canine Medicine and Genetics (dalam bahasa Inggeris). 7 (1): 3. doi:10.1186/s40575-020-00082-y. PMC 7371805. PMID 32835229.
  20. ^ "Common Dalmatian Health Problems" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 4 Februari 2015. Dicapai pada 24 Disember 2023.
  21. ^ "Hip Dysplasia in Dalmatians – Dog'sHealth.com Blog". Dogshealth.com. Dicapai pada 24 Disember 2023.
  22. ^ Martin, S. W.; Kirby, K.; Pennock, P. W. (November 1980). "Canine Hip Dysplasia: Breed Effects". The Canadian Veterinary Journal (dalam bahasa Inggeris). 21 (11): 293–296. PMC 1789813. PMID 7459792.
  23. ^ Friedman, Meyer; Byers, Sanford O. (September 1948). "Observations concerning the causes of the excess excretion of uric acid in the dalmatian dog". Journal of Biological Chemistry (dalam bahasa Inggeris). 175 (2): 727–735. doi:10.1016/S0021-9258(18)57191-X. PMID 18880769.
  24. ^ Simkin PA (Ogos 2005). "The Dalmatian defect: a hepatic endocrinopathy of urate transport". Arthritis Rheum. (dalam bahasa Inggeris). 52 (8): 2257–2262. doi:10.1002/art.21241. PMID 16052594.
  25. ^ Lowrey JC (Mac 1976). "An unusual diet-derived inflammatory dermatosis in a Dalmatian dog responds to orgotein". Vet Med Small Anim Clin (dalam bahasa Inggeris). 71 (3): 289–295. PMID 1045695.
  26. ^ Schaible, Robert H. (April 1981). "A Dalmatian Study: The Genetic Correction of Health Problems". The AKC Gazette (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 11 Mac 2013. Dicapai pada 24 Disember 2023.
  27. ^ Jensen, Mary–Lynn: Dalmatian Backcross Project. Past, Present and Future. Dalam: Spotter, Fall 2006, hlm. 44–46 (Journal of the Dalmatian Club of America) PDF Dalam Talian 296 kB, dicapai pada 24 Disember 2023.
  28. ^ Schaible, Robert H.: Backcross Project: Long–Standing Issues. Dalam: Spotter, Winter 2006, hlm. 34 (Journal of the Dalmatian Club of America) PDF Dalam Talian 34 kB, dicapai pada 24 Disember 2023.
  29. ^ "AKC agrees to register low uric acid Dalmatians" (dalam bahasa Inggeris). Dog World. Diarkibkan daripada yang asal pada 5 Oktober 2011. Dicapai pada 24 Disember 2023.
  30. ^ "Registration Rules and Regulations (B Regs)" (dalam bahasa Inggeris). The Kennel Club. Dicapai pada 24 Disember 2023.
  31. ^ "Registration of a Low Uric Acid Dalmatian Import from the USA" (dalam bahasa Inggeris). The Kennel Club. 12 Januari 2010. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 Mac 2012. Dicapai pada 24 Disember 2023.
  32. ^ "Backcross Dalmatians – The UK Dalmatian Clubs Respond" (dalam bahasa Inggeris). British Dalmatian Club. 2 Februari 2010. Dicapai pada 24 Disember 2023.
  33. ^ "About the Project" (dalam bahasa Inggeris). The Dalmatian Heritage Project. Diarkibkan daripada yang asal pada 6 November 2014. Dicapai pada 24 December 2013.
  34. ^ a b c d e f g h "FCI-Standard N° 153 DALMATINSKI PAS (Dalmatian)" [Piawaian FCI No. 153 Anjing Dalmatia] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Inggeris). 3 Mei 2011. Dicapai pada 24 Disember 2023.
  35. ^ a b Roman Ozimec, Frane Strikić, Jasminka Karoglan Kontić; (2015) Tradicijske sorte i pasmine Dalmacije(Traditional varieties and breeds of Dalmatia) p 521; ISBN 978-953-7429-51-5 [3]
  36. ^ "The Kennel Club". thekennelclub.org.uk (dalam bahasa Inggeris).
  37. ^ Schneider-Leyer, Erich; Fitch Daglish, Eric. Dogs of the World (Inggeris), Popular Dogs, 1964.
  38. ^ a b c "Fire buffs traditions" (dalam bahasa Inggeris). Windsor Fire. Diarkibkan daripada yang asal pada 30 Julai 2013. Dicapai pada 24 Disember 2023.
  39. ^ "The history of Dalmatians in the fire service" (dalam bahasa Inggeris). 10 Februari 2017. Dicapai pada 24 Disember 2023.
  40. ^ "Fire Dogs and Fire Horses" (dalam bahasa Inggeris). Publicsafety.net. Dicapai pada 24 Disember 2023.
  41. ^ "British Carriage Dog Society" (dalam bahasa Inggeris). carriagedog.org. Diarkibkan daripada yang asal pada 19 November 2014. Dicapai pada 24 Disember 2023.
  42. ^ "One Hundred and One Dalmatians (1961)" (dalam bahasa Inggeris). 7 Mac 2008. Diarkibkan daripada yang asal pada 7 Mac 2008. Dicapai pada 24 Disember 2023.
  43. ^ "With Finding Nemo, Marine Conservation Group Finds Opportunity to Spotlight Safe Harvesting Practices" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). 1 November 2005. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 1 November 2005. Dicapai pada 24 Disember 2023.
  44. ^ "The Pawesome Post – Facts and Stats" (dalam bahasa Inggeris). thepawesomepost.com. Dicapai pada 24 Disember 2023.
  45. ^ "Lou Dog stories". Ocweekly.com (dalam bahasa Inggeris). 25 Mei 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 15 Januari 2012. Dicapai pada 24 Disember 2023.

Pautan luar