Ribut petir
Ribut petir ialah satu sistem ribut yang dikenali dengan kehadiran kilat dan petir yang dihasilkan oleh awan kumulonimbus selain hujan atau hujan batu yang lebat. Ribut petir ialah ribut yang paling lazim berlaku di dunia.
Menurut Encyclopedia Britannica, purata tenaga yang dihasilkan semasa ribut petir ialah lebih kurang 10 gigawatt-jam (3.6×1013 joule), bersamaan dengan kepala peledak nuklear 20 kiloton. Ribut petir dahsyat pula boleh jadi 10 hingga 100 kali lebih kuat.
Lokasi ribut petir berlaku
Ribut petir boleh berlaku di mana-mana sahaja di bumi, dengan kawasan kutub sebagai kawasan yang paling kurang mengalami ribut petir, dan kawasan beriklim khatulistiwa sebagai kawasan yang paling kerap mengalami ribut petir, dengan kekerapan terkuat di kawasan hutan hujan tropika. Kampala dan Tororo di Uganda telah dianggap sebagai tempat terjadinya ribut petir paling banyak di Bumi.
Beberapa ribut petir yang paling kuat dan berbahaya berlaku di Amerika Syarikat, terutamanya di negeri-negeri barat tengah Amerika Syarikat dan kawasan selatan. Ribut tersebut boleh menimbulkan puting beliung. Setiap musim bunga, pemburu ribut akan menuju ke Great Plains, Amerika Syarikat dan kawasan Prairie, Kanada untuk meneroka aspek visual dan saintifik ribut dan puting beliung.
Klasifikasi ribut petir
Terdapat 4 jenis ribut petir, yang diklasifikasikan mengikut kadar ketidakstabilan atmosfera serta penghasilan angin ricih seperti berikut:-
- Sel tunggal - Ribut petir ini tidak menghasilkan angin ricih kencang serta kebanyakannya bertahan dalam masa kurang daripada sejam selepas penghasilan kilat yang pertama. Angin kencang tidak terhasil kerana kitaran naik-turun udara panas dan sejuk berlaku di tempat yang sama.
- Berbilang sel - Beberapa kelompok awan ribut petir (dikenali sebagai sel) bergabung membentuk kelompok ribut petir yang lebih besar. Hasilnya, terdapat 2 zon udara iaitu zon penaikan udara panas (updraft) dan zon penurunan udara sejuk (downdraft). Akibatnya, angin ricih yang kencang mula dihasilkan. Hujan yang turun juga tidak seragam, dengan terdapat bahagian yang menghasilkan hujan lebat tetapi terdapat juga bahagian yang tidak menghasilkan hujan. Ribut petir berbilang sel adalah mod ribut petir yang lazim berlaku.
- Garis badai - Garis badai terbentuk apabila kelompok-kelompok sel ribut petir berkumpul secara linear.
- Supersel - Supersel ialah jenis ribut petir yang sangat besar, berkemungkinan menghasilkan angin puting beliung yang dahsyat (kategori EF3 ke atas) serta menghasilkan angin kencang melebihi 130 km/j, di samping menghasilkan hujan air batu berdiameter besar serta banjir kilat.
Ribut petir dahsyat
- Lihat juga: Amaran ribut petir
Ribut petir dahsyat mempunyai sifat-sifat berikut:-
- Angin kencang melebihi 92 km/j
- Hujan air batu berdiameter 1.5 cm ke atas
- Berkemungkinan berlaku puting beliung
- Panahan kilat awan ke bumi yang sangat kerap
- Hujan lebat yang berterusan sehingga menyebabkan banjir kilat
Fasa pembentukan ribut petir
Rajah aliran udara semasa pembesaran awan kumulus | Rajah aliran udara semasa peringkat matang | Rajah aliran udara semasa peringkat penyingkiran |
Terdapat 3 fasa utama dalam kejadian ribut petir:-
- Pembesaran awan kumulus - Kebanyakan ribut petir mula terbentuk apabila awan kumulus mula membesar secara menegak. Pancaran matahari menyebabkan air mengewap dan "diangkat" naik ke langit. Awan kumulus akan terus membesar sehingga ketinggiannya melepasi takat beku serta udara panas yang naik tidak lagi mampu mengangkat wap air. Pada tahap inilah bahagian atas awan akan terserak, memberikan bentuk rakap kepada awan dan awan tersebut bertukar menjadi awan kumulonimbus.
- Peringkat matang - Bahagian atas awan yang menyejuk menyebabkan wap air terpeluwap sehingga membentuk partikel ais. Partikel ais yang berat itu akan jatuh sebagai hujan, membawa bersama udara sejuk turun. Oleh kerana pada peringkat ini berlaku proses turun-naik udara di dalam awan secara serentak, lekukan berlaku di dalam awan, menghasilkan petir, kilat dan angin ricih. Sekiranya angin ricih yang kencang berlaku, awan ribut petir itu berkemungkinan akan membentuk puting beliung. Jika tiada angin ricih, hanya hujan, kilat dan petir sahaja yang terhasil dan akan berakhir dalam masa yang singkat.
- Peringkat penyingkiran - Oleh kerana hujan yang turun telah menyejukkan udara di kawasan yang terlibat, tiada lagi aktiviti udara panas naik ke awan. Oleh kerana kebanyakan daripada kelembapan di dalam awan ribut sudah disingkirkan, ribut petir tidak dapat bertahan dan akan berakhir.