Empayar Uthmaniyah
Negara Uthmaniyah Abadi نڬارا عثمانية ابادي دولتِ عليهٔ عثمانیه Devlet-i ʿAlīye-i ʿOsmānīye Empayar Uthmaniyah Kerajaan Uthmaniyah | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
1299–1923 | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Cogan kata: دولتِ ابد مُدّت Devlet-i Ebed-müddet (Negara Abadi) | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Lagu kebangsaan: Lagu kebangsaan Uthmaniyah | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Status | Dibubarkan | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Ibu negara | Söğüt (1302–26) Bursa (1326–65) Edirne (1365–1453) Kustantiniyah (1453–1922)[1][2] | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Agama | Sunnah Islam (rasmi), Kesufian, Syiah, Kristian, Yazidi dan Yahudi (minoriti) | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Kerajaan | • Raja mutlak (1299–1876; 1920–1922) • Raja mutlak di bawah kediktatoran totalitarian autokratik (1878–1908) • Raja berparlimen berperlembagaan (1876–1878; 1908–1913; 1918–1920) • Raja berparlimen di bawah bediktatoran tentera totalitarian satu parti (1913–1918) | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Sultan | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
• 1281–1326 (pertama) | Osman I | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
• 1918–1922 (terakhir) | Mehmed VI | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Perdana Menteri | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
• 1320–1331 (pertama) | Alaeddin Pasha | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
• 1920–1922 (terakhir) | Ahmed Tevfik Pasha | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Sejarah | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
1299 | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
• Zaman Peralihan | 1402–1414 | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
• Perlembagaan Pertama | 1876–1878 | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
• Perlembagaan Kedua | 1908–1918 | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
• Pembubaran Kesultanan | 1 November 1922 | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
• Pemergian Mehmed VI, sultan terakhir | 17 November 1922 | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
24 Julai 1923 | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Keluasan | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
1683[4] | 5,200,000 km2 (2,000,000 bt2) | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
1914 [5] | 1,800,000 km2 (690,000 bt2) | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Populasi | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
• 1856 | 35350000 | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
• 1906 | 20884000 | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
• 1912[6] | 24000000 | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Mata wang | Akçe, Kuruş, Lira, Sultani | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Sekarang sebahagian dari | Negara moden
|
Empayar Uthmaniyah (Bahasa Turki Uthmaniyah: دولتِ عليهٔ عثمانيه ; Turki: Osmanlı İmparatorluğu ) adalah sebuah negara[note 1] yang menguasai sebahagian besar Eropah Tenggara, Asia Barat, dan Afrika Utara antara abad ke-14 dan awal abad ke-20 selama lebih kurang 600 tahun. Ia didirikan pada akhir abad ke-13 di Anatolia barat laut di bandar Söğüt (Wilayah Bilecik moden) oleh pemimpin suku Osmani,[7][8] Uthman I.[9] Keluarga Bani Osmani ini ialah sebahagian kecil keseluruhan suku-suku bangsa Turki yang dikenali sebagai bangsa Turki yang masuk ke Asia Kecil semenjak abad kesebelas yang lalu. Bangsa ini ialah pemimpin-pemimpin yang terus-menerus berjuang menentang Byzantine, terutama setelah mereka bergerak ke barat laut Anatolia di abad ke-13.[10] Pengikut-pengikutnya terkenal sebagai ghazi atau lebih mudah dikenali sebagai parajurit yang berjuang memerangi Kristian kerana jihad untuk menegakkan Islam, dan mengecapi kejayaan. Di sinilah wujudnya empayar atau kerajaan Uthmaniyah, yang menampung kerajaan-kerajaan kecil bangsa Turki yang lain. Pemerintah Uthmaniyah melihat diri mereka sebagai "pemerintah sejagat" dan waris kepada Empayar Rom dan Islam, maka terjadilah "penyatuan kebudayaan".[11]
Pada tahun 1357, mereka menyeberangi Dardanelles menuju ke semenanjung Gallipoli dan sebelum akhir abad ke-14 mereka telah menduduki beberapa kawasan dibawah kerajaan Byzantine, termasuk Yunani dan Bulgaria. Kustantiniyah (kemudian ditukar nama kepada Istanbul) setelah jatuh ke tangan kerajaan Uthmaniyah pada tahun 1453. Pada tahun 1526 sebagian besar wilayah Hungary telahpun berada di bawah kekuasaan Uthmaniyah. Kerajaan Uthmaniyah mempunyai angkatan laut yang handal di Laut Mediterranean dan melaksanakan tugasnya dalam peperangan dengan Sepanyol dan kuasa-kuasa Eropah yang lain. Algeria segera mereka kuasai dan akhirnya menambahkan Tunisia sebagai wilayah kerajaan Uthmaniyah. Uthmaniyah juga meluaskan kuasanya dengan menuju ke bahagian tenggara, menduduki Mesopotamia dan bahagian-bahagian wilayah Arab yang lain. Bagi bangsa Eropah Barat, kemajuan Uthmaniyah merupakan keganasan Islam. Dengan ini mereka menegaskan bahawa Islam ialah agama kekejaman dan agama pedang yang menakutkan. Maka tidak hairanlah pada tahun 1542, Dewan Kota Praja Basel di Switzerland membekukan penerbitan terjemahan Al-Quran yang diterjemahkan oleh Robert dari Ketton. Dewan Kota Praja ini membantah dengan mengatakan "dongeng dan bida'ah yang dibuat-buat" dalam Al-Quran itu akan mengganggu penganut Kristian Pada akhir abad ke-17, kelemahan kerajaan Uthmaniyah mulai terserlah selepas satu setengah abad berkuasa. Pengepungan ke atas Vienna di tahun 1683 turut menemui kegagalan dan kerajaan Uthmaniyah kini pula menghadapi persekutuan dari Austria, Poland, Venice dan Paus, dan Rusia.
Semenjak tahun 1699 mereka telah banyak menemui kekalahan dan di dalam perjanjian damai Karlovitz, Uthmaniyah dipaksa bersetuju untuk menyerahkan wilayah-wilayahnya kepada Austria, Venice dan Poland. Walaupun demikian, mereka tetap mempertahankan hak mereka di bahagian tenggara Eropah, termasuk pantai barat dan utara Laut Hitam. Namun pada abad ke-19, kerajaan Uthmaniyah kembali kehilangan sebahagian besar dari wilayah taklukkannya yang dimulai dengan kemerdekaan Yunani pada tahun 1829 dan pendudukan Perancis ke atas Algeria pada tahun 1830. Kerajaan Uthmaniyah digelar "Orang sakit Eropah" dan hanya persaingan mereka inilah yang mencegah terjadinya perpecahan-perpecahan yang dahulunya pernah terjadi. Setelah kekalahannya dalam Perang Dunia I pada tahun 1912-1919, kesemua wilayah ini masih tetap berada di bawah Kerajaan Uthmaniyah, dengan wilayah Eropahnya ialah kawasan di sekitar Istanbul meluas sampai ke sebelah utara Edirne (Adrianople) dan ke barat sampai ke Gallipoli. Bangsa Turki di bawah kekuasaan Mustafa Kemal Atatürk telah menghapuskan nama kerajaan Uthmaniyah pada 1922 dan diganti dengan Republik Turki. Wilayah-wilayah jajahan di Asia dan Afrika dahulu telah hilang kecuali Anatolia yang masih berada di wilayah Republik Turki ini.
Sejarah
Wilayah Uthmaniyah pada mulanya dikenali sebagai Beylik di dalam Kerajaan Turki Seljuk pada kurun ke-13. Pada tahun 1299, Uthman I mengisytiharkan kemerdekaan Wilayah Uthmaniyah dan mengasaskan Kerajaan Uthmaniyah.
Penubuhan dan Kemajuan (1299-1453)
Semasa penubuhan dan perkembangan Empayar Uthmaniyah, karakteristik empayar ini tidak boleh disoal lagi lebih-lebih lagi semasa pemerintahan Sultan Muhammad al-Fatih. Hal ini menjadikan Empayar Uthmaniyah istimewa dalam sejarah ketamadunan manusia.
Sepanjang kurun ke-16, Empayar Uthmaniyah terus berkembang daripada segi wilayah dan kekuasaan dengan mengembangkan kekuasaan sehingga ke Afrika Utara di barat daya dan Parsi di sebelah timur. Semasa Pertempuran Chaldiran, di sebelah timur Anatolia, (sekarang di barat Tabriz, Turki) pada tahun 1514, tentera Uthmaniyah di bawah pimpinan Sultan Selim I memenangi pertempuran menentang tentera Parsi. Hal ini memastikan keselamatan wilayah Uthmaniyah di sebelah timurnya. Selepas itu tumpuan Empayar Uthmaniyah beralih kepada bahagian barat empayar terbabit. Sultan Sulaiman I, selepas menaiki takhta pada tahun 1518, mengetuai beberapa siri ketenteraan di Balkan. Di bawah Suleiman yang juga merupakan seorang strategis yang hebat, tentera Uthmaniyah mara ke utara dengan menguasai Belgrade (1521), mengalahkan Hungary (1526), dan menyerang Vienna (1529).
Kejayaan pengembangan kuasa Uthmaniyah pada kurun ke-16 adalah kerana kemahiran bersenjata api dan taktik peperangan di samping kesempurnaan sistem ketenteraan. Tentera Uthmaniyah juga amat mahir dalam melakukan serangan dan kepungan kerana serangan seperti ini mendatangkan kesan kemusnahan yang teruk terhadap musuh mereka.
Salah satu contoh terbaik untuk menunjukkan kemahiran mereka menyerang atau membuat pengepungan ialah semasa peristiwa penaklukan Kustantiniyah (Istanbul) pada tahun 1453. Semasa serangan terbabit, meriam-meriam besar digunakan bagi memusnahkan tembok yang tinggi dan tebal. Meriam-meriam ini diperbuat daripada gangsa dan dibawa berdekatan dengan kota ini menggunakan banyak tenaga manusia disamping penggunaan kerbau dan lembu kerana berat yang melampau meriam-meriam ini. Meriam-meriam ini kemudiannya ditanam di sebelah hujung bagi menyerap tekanan letupannya. Seorang panglima Austria pernah berkata bahawa tentera Uthmaniyah amat "kebal" semasa musim panas. Keterangan ini nyata benar memandangkan banyak kejayaan dicapai semasa kempen-kempen perangnya.
Perkembangan (1453-1683)
Perkembangan kekuasaan Uthmaniyah boleh dikategorikan kepada dua zaman. Zaman pertama boleh dikatakan semasa berlakunya penaklukan dan perkembangan kuasa; iaitu bermula daripada penawanan atau "pembukaan" Kustantiniyah pada tahun 1453 sehinggalah kemangkatan Sultan Sulaiman al-Qanuni (Suleiman the Magnificent) pada tahun 1566. Selepas berakhirnya zaman pertama, zaman kedua pula muncul iaitu semasa struktur pentadbiran mula menunjukkan kelemahannya akibat daripada perebutan kuasa dan rasuah iaitu dari tahun 1566 sehinggalah kegagalan serangan ke atas Vienna pada tahun 1683.
Bagi meluaskan pengaruh dan kawasan Empayar Uthmaniyah semasa zaman perluasaan kuasanya, pemimpin memilih untuk menyebarkan melalui laluan air yakni laut. Selim I menawan Parsi sebelum tewas kepada tentera Parsi tidak lama kemudian. Parsi kemudian menewaskan tentera Uthmaniyah dan menawan sebahagian kawasan milik Uthmaniyah di timur empayar itu. Mereka juga berjaya menawan Baghdad. Empayar Uthmaniyah menubuhkan tentera laut di Laut Merah bagi mengatasi pengaruh Portugis dalam perdagangan rempah. Semasa zaman ini, Empayar Uthmaniyah bersaing dengan kuasa-kuasa Eropah di Lautan Hindi. Empayar Uthmaniyah juga menghantar tentera lautnya bersama-sama dengan kelengkapan perang dan askar ke Kenya dan Aceh bagi membantu pemerintah-pemerintah Muslim di sana, di samping mempertahankan perdagangan rempah dan hamba. Di Aceh, Empayar Uthmaniyah membina kubu dan mempertahankannya menggunakan meriam, selain itu Sultan Aceh,Sultan Alauddin Riayat Shah Al Qahar telah memimpin sebuah armada perang dibantu oleh tentera Empayar Uthmaniyah dengan meriam-meriam besar dari Istanbul menggempur Portugis di Melaka. Empayar Uthmaniyah juga merupakan kuasa yang bertanggungjawab dalam membantu perjuangan pihak Protestan Belanda bagi menghadapai konflik mereka dengan golongan Katolik Sepanyol. Tentera laut Uthmaniyah juga mempunyai banyak pengaruh di Laut Mediterranean menjadikan perdagangan di sana berkembang dengan pesat disebabkan kestabilan perdagangan di situ. Zaman ini kemudiannya dikenali sebagai zaman "Pax Ottomanica" oleh orang Barat.
Serangan ke atas Vienna bukanlah satu siri pengembangan kuasa Empayar Uthmaniyah terhadap Jerman. Sebenarnya pihak Empayar Uthmaniyah hanyalah ingin bertindak terhadap campur tangan Hapsburg Sepanyol ke atas Hungary. Hal ini juga menyebabkan sesetengah sekutu Uthmaniyah membelot terhadap Empayar Uthmaniyah. Paus di Itali kemudiannya meninggalkan kepentingan sekularnya bagi membangkitkan semangat anti-Islam di samping ingin melancarkan Perang Salib yang baru. Dalam masa yang akan datang, Empayar Uthmaniyah bukan sahaja sebuah kuasa penakluk tetapi juga sebuah instrumen politik Eropah. Perang di Vienna membawa kepada zaman kemerosotan terhadap Empayar Utmaniyyah.
Genangan (1683-1827)
Selepas tewasnya tentera Uthmaniyah dalam perang di Vienna pada tahun 1683 yang menunjukkan bahawa Empayar Uthmaniyah bukan lagi kuasa besar di Eropah. Pada tahun 1699, buat pertama kali dalam sejarahnya, Empayar Uthmaniyah mengakui bahawa Austria adalah sama taraf dengannya. Bukan sahaja itu, Empayar Uthmaniyah juga kehilangan wilayah besar dikuasainya sejak sekian lama. Terdapat banyak sultan yang dilantik selepas itu yang tidak sekuat generasi Mehmed II, Selim I dan Suleyman I.
Semasa zaman kemerosotan ini, Empayar Uthmaniyah lemah kerana masalah dalaman dan luarannya disebabkan peperangan yang amat mahal terutamanya menentang Parsi, Persekutuan Poland-Lithuania, Rusia, Austria-Hungary. Perang Rusia-Turki ialah peperangan antara Rusia dan Empayar Uthmaniyah semasa kurun ke-17, ke-18, dan ke-19 masihi (kesemuanya 10 peperangan). Ia merupakan di antara konflik yang paling lama dalam sejarah Eropah yang berlarutan selama 241 tahun; lebih lama daripada Perang Seratus Tahun di antara England dan Perancis. Sebelum itu, Empayar Uthmaniyah tewas dalam Perang Lepanto pada tahun 1571.
Perjanjian Passarowitz menghasilkan satu era yang aman di antara tahun 1718-1730. Pentadbiran Uthmaniyah mula berubah dengan memajukan kota-kota sekitar Balkan yang akan menjadi benteng pertahanan mereka sekiranya peperangan meletus dengan kuasa Eropah. Pelbagai perubahan dilakukan seperti mendapat pandangan rakyat, mengurangkan cukai, memperbaiki kemudahan awam, dan berbagai-bagai lagi perubahan. Walau bagaimanapun, Empayar Uthmaniyah gagal bersaing dalam bidang teknologi dengan musuhnya di Eropah, terutamanya Rusia.
Pada penghujung kurun kelapan-belas menyaksikan Empayar Uthmaniyah ketinggalan jauh berbanding kuasa Barat. Peperangan berlaku dan mengakibatkan Uthmaniyah kehilangan banyak wilayah kepada Rusia dan Austria. Kawasan seperti Mesir juga mencapai kemerdekaan. Semasa zaman ini, bermula dengan pemerintahan Sultan Selim III terdapat usaha-usaha untuk memodenkan sistem-sistem di Turki. Banyak reformasi yang dilakukan oleh pemerintah dihalang oleh golongan-golongan konservatif di dalam Empayar Uthmaniyah sendiri sama ada oleh golongan keagamaan atau oleh golongan Janissari yang pada masa ini telah menjadi rasuah. Walaupun tentera elit Janissari ini dimansuhkan pada tahun 1826, usaha ini masih mendapat tentangan.
Kemerosotan dan pemodenan (1828-1908)
Proses kemerosotan dan kejatuhan Empayar Uthmaniyah dibentuk oleh pengstukturan semula dan transformasi dalam setiap aspek Empayar Uthmaniyah. Walau bagaimanapun, usaha yang berterusan tidak membantu dalam menghalang proses kemerosotan sistem Uthmaniyah. Satu perubahan yang signifikan hanyalah apabila Empayar Uthmaniyah mula menjadi sekutu kuasa-kuasa Eropah. Terdapat beberapa siri pakatan dengan beberapa negara Eropah seperti Perancis, Belanda, Britain dan Rusia. Salah satu contoh yang nyata ialah semasa Perang Krimea, yang mana Perancis, Britain, dan Uthmaniyah berpakat menentang Tsar Rusia.
Terdapat pada satu masa iaitu antara tahun 1839 dan 1876, reformasi dilaksanakan. Semasa zaman ini tentera moden ditubuhkan. Sistem perbankan juga disusun semula di samping pembinaan kilang-kilang yang moden. Dari struktur ekonomi pula, pihak pentadbir Uthmaniyah menghadapi kesukaran membayar balik pinjaman yang dibuat dengan bank-bank di Eropah. Dari segi ketenteraan, ia menghadapi masalah mempertahankan dirinya daripada diduduki kuasa-kuasa asing (cth: Mesir diduduki Perancis pada 1798; Cyprus diduduki British pada 1876, dll.).
Dalam semua idea Empayar Uthmaniyah dapati daripada kuasa Barat seperti nasionalisme etnik. Kebangkitan nasionalisme etnik mengancam kestabilan Uthmaniyah kerana rakyatnya yang berbilang bangsa. Banyak peristiwa pemberontakan atas nama nasionalisme muncul dan mengugat Empayar Uthmaniyah.
Kebangkitan nasionalisme memaksa Empayar Uthmaniyah untuk bertindak. Sepanjang enam abad yang lalu banyak yang telah berubah kecuali sistem kerajaan. Ada juga sekumpulan orang dari Uthmaniyah yang mempunyai pendidikan barat berpendapat bahawa konsep raja berpelembagaan dapat mengurangkan tekanan di dalam negara. İttihat ve Terakki Cemiyeti (Perhimpunan Perpaduan dan Kemajuan) mempunyai hubungan yang istimewa dalam kumpulan ini. Menurut buku yang dikeluarkan oleh İttihat ve Terakki Cemiyeti, kejayaan dapat dicapai sekiranya perubahan dilakukan terhadap institusi sosial dan politik Uthmaniyah. Menerusi sebuah penggulingan ketenteraan, İttihat ve Terakki Cemiyeti memaksa Sultan Abdul Aziz untuk menyerahkan takhta kepada Murad V. Bagaimanapun, Murad V mempunyai masalah mental. Sultan Abdul Aziz terpaksa dipanggil semula dengan syarat baginda akan mengubah sistem politiknya. Sultan Abdul Aziz mengubah struktur pentadbiran yang berusia ratusan tahun ini 23 November 1876. Baginda mengubah nama perlembagaan baru ini kepada "Kanun-i Esasi". Perlembagaan ini bertahan sehinggalah bermulanya Perang Krimea.
Menjelang penghujung kurun kesembilan belas, keadaan politik Empayar Uthmaniyah menunjukkan keadaan kucar-kacir pada masa akan datang. Hal ini jelas menunjukkan bahawa reformasi dan perubahan tidak cukup untuk membuat perbezaan dan tidak cukup untuk menghalang pembubaran Empayar Uthmaniyah.
Pembubaran (1908-1922)
Dari sudut sosial, kebangkitan semangat nasionalisme dan perubahan untuk demokrasi menjadikan rakyat semakin tidak tenteram. Hal ini akhirnya menyebabkan beberapa siri perebutan kuasa yang mengakibatkan konsep raja berperlembagaan ditubuhkan yang mana sultan mempunyai sedikit kuasa manakala Parti Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan, lebih dikenali sebagai Turki Muda, memerintah keseluruhan Empayar Uthmaniyah.
Tiga buah negara Balkan yang baru terbentuk pada penghujung abad kesembilan belas. Keseluruhan wilayah itu termasuk Montenegro mencari kawasan tambahan di dalam wilayah Albania, Makedonia, dan Thrake yang berada di bawah pentadbiran Uthmaniyah. Dengan dorongan dari Rusia, beberapa siri perjanjian ditandatangani: antara Serbia dan Bulgaria (Mac 1912) dan antara Yunani dan Bulgaria (Mei 1912). Perjanjian di antara Serbia dan Bulgaria mendesak kepada perpisahan Makedonia yang mengakibatkan Perang Balkan Pertama. Selepas itu terjadi pula Perang Balkan Kedua.
Dalam usaha terakhir untuk memastikan wilayah-wilayah terbabit kekal dalam kekuasaan Uthmaniyah, Enver Pasha menyertai kuasa tengah dalam Perang Dunia Pertama. Semasa waktu ini, Landasan Kereta Api Baghdad yang dikuasai Jerman menjadi punca pertenglikaian antarabangsa dan memainkan peranan dalam punca tercetusnya Perang Dunia Pertama.[12] Empayar Uthmaniyah mendapat beberapa kejayaan dalam tempoh awal peperangan terbabit. Pihak bersekutu, termasuk unit tentera baru, ANZAC dikalahkan di Gallipoli, Iraq dan Balkan, dan beberapa kawasan diperolehi. Di Caucasus, tentera Uthmaniyah tewas dalam beberapa siri pertempuran dan ini membolehkan tentera Rusia bergerak dari Trabzon, Erzurum, ke arah Van. Empayar Uthmaniyah bagaimanapun tewas pada akhir peperangan ini terhadap pihak bersekutu dan mengakibatkan ia kehilangan wilayahnya.
Mustafa Kemal Pasha, kemudian dikenali sebagai Kemal Atatürk, yang memperoleh reputasi yang baik semasa kempen di Gallipoli dan Palestin, dengan rasmi dihantar daripada Istanbul (ditawan) untuk memerintah dan membubarkan tentera Uthmaniyah di Kaukasus. Pada awalnya pihak Uthmaniyah hanya mengikuti arahan sahaja. Walau bagaimanapun dalam masa tahun kemudian, berlakunya perang kemerdekaan Turki (1918-1923) menentang kuasa asing. Perjuangan mereka ini mengakibatkan penggulingan kuasa Sultan Mehmed VI oleh Perhimpunan Baru Turki. Republik Turki kemudian diasaskan pada 29 Oktober 1923.
Sejarah kebangsaan
Artikel sejarah berkaitan di Wikipedia. | |||
Perang Uthmaniyyah di Eropah | Albania Uthmaniyyah | ||
Sejarah Balkan | Algeria Uthmaniyyah | ||
Cyprus Uthmaniyyah | |||
Bulgaria Uthmaniyyah | |||
Serbia Uthmaniyyah | |||
Sarajevo Uthmaniyyah Awal | |||
Sarajevo Uthmaniyyah Akhir | |||
Greece Uthmaniyyah |
Sejarah ekonomi
Kerajaan Uthmaniyah meneruskan polisi pembangunan Bursa, Edirne (Adrianople) dan Istanbul, yang kesemuanya merupakan ibu negara Uthmaniyah, untuk menjadikan bandar-bandar ini pusat komersial dan industri, dengan mengajak pedagang-pedagang untuk mencipta satu metropolis baru.[13] Mehmed dan penggantinya Bayezid, juga menggalakkan dan menerima migrasi puak-puak Yahudi daripada pelbagai bahagian Eropah, yang tinggal di Istanbul dan bandar-bandar pelabuhan yang lain seperti Salonica. Minda ekonomi Uthmaniyah adalah berasaskan konsep asas negara dan masyarakat di Timur Tengah yang mana matlamat utama sebuah negara adalah untuk memperkembangkan lagi kekuasaan pemerintah dan salah satu cara untuk mencapainya adalah dengan mendapatkan sumber kekayaan dengan menjadikan kelas produktif berkembang.[14] Matlamat paling penting adalah untuk meningkatkan pendapatan negara sebanyak yang mungkin tanpa merosakkan kemakmuran rakyat bagi menghalang kekacauan masyarakat dan memastikan konsep tradisional masyarakat terpelihara.
Organisasi Jabatan Perbendaharaan berkembang di bawah Empayar Uthmaniyah berbanding kerajaan-kerajaan Islam lain dan sehingga kurun ke-17, Empayar Uthmaniyah ialah organisasi peneraju berbanding yang lain.[15] Organisasi ini menghasilkan satu kumpulan masyarakat yang baru, yang mana ulama yang terlatih menghasilkan badan profesional kewangan.[15]
Negeri
Terdapat beberapa ciri didalam negeri kekuasaan Uthmaniyah yang mana tidak menunjukkan perubahan setelah sekian lama.
Negeri-negeri Uthmaniyah merevolusikan sistem pentadbiran dengan bantuan dan pengalaman masyarakat Kristian dan Yahudi sementara negeri-negeri lain masih berpegang kepada agama dan identiti mereka sendiri. Hal ini ialah salah satu cara mengembangkan kawasan mereka dengan pesat yang memerlukan sumber tempatan untuk menguruskan sistem pentadbiran terbabit. Contohnya; perlantikan penasihat kepada sultan. Ada diantara mereka ini dilantik daripada masyarakat bukan Islam dan bukan berbangsa Turki tetapi amat setia kepada negara..
Dalam linkungan diplomatik, Empayar Uthmaniyah seringkali ditafsir sebagai بابِ علی Bâb-i-âlî, atau Sublime Porte ("pintu besar") - sebuah ilusi terhadap pintu besar Istana Topkapı di mana sultan menyambung wakil-wakil dan duta-duta kerajaan asing. Ada sesetegah pihak menafsirkan gelaran tersebut berikutan kedudukan geografi empayar ini. Hal ini bermakna Istanbul, ibu negeri Uthmaniyah menjadi gerbang di antara Eropah dan Asia. Masyarakat barat seringkali menganggap Empayar Uthmaniyah sebagai Empayar Turki ataupun Turki; yang kemudiannya tidak patut dikelirukan dengan negara Turki moden.
Sultan
Sultan ialah pemerintah tunggal Empayar Uthmaniyah walaupun pada akhir zaman empayar ini, kuasa mereka menjadi semakin terhad.
Dinasti ini dikenali sebagai Osmanli atau Uthmaniyah oleh sesetengah pihak. Pemerintah pertama empayar ini menggelar diri mereka sebagai Bey. Oleh itu mereka mereka mengakui kesetiaan kepada Kerajaan Seljuk. Sultan Murad I ialah pemerintah pertama yang menggunakan gelaran "sultan". Dengan tertawannya Kustantiniyah pada tahun 1453, empayar ini semakin menuju ke kemuncak kehebatannya. Mulai tahun 1517, sultan-sultan Uthmaniyah juga merupakan Khalifah umat Islam. Sultan-sultan juga digelar dengan pelbagai gelaran, antaranya ialah Sultan bagi segala Sultan, Panglima orang-orang Mukmin, dan waris Muhammad.
Undang-undang
Terdapat tiga jenis sistem perundangan di dalam Empayar Uthmaniyah: satu bagi orang Islam (kadi), satu bagi orang bukan Islam, dan satu bagi perdagangan. Undang-undang tertinggi empayar ini ialah Undang-Undang Kanun. Mahkamah utama dalam empayar ini ialah Mahkamah Syariah. Pentadbiran tempatan ialah salah satu cara untuk menyamaratakan kuasa pusat dan tempatan.[16]
Terdapat dua sistem kehakiman iaitu Undang-Undang Syariah dan Undang-Undang Kanun. Tidak berlaku percampuran kuasa bagi masalah agama yang lain. Undang-undang Syariah ialah berdasarkan Al Quran dan As Sunnah. Undang-undang kanun (juga dikenali sebagai Undang-undang sivil) ialah undang-undang yang ditetapkan oleh sultan. Kedua-dua sistem ini diajar di sekolah undang-undang yang wujud di Bursa dan Istanbul. Mahkamah diuruskan oleh seorang kadi yang dilantik sultan.
Ketenteraan
Pengambilan askar baru untuk menjadi sebahagian daripada tentera Uthmaniyah merupakan satu sistem yang kompleks. Didalam tentera Uthmaniyah, askar berkuda merupakan unit utamanya. Askar berkuda ini menggunakan panah dan pedang pendek sambil mempraktikkan taktik seperti yang ditunjukkan oleh tentera Mongol. Tentera Uthmaniyah pernah menjadi tentera termoden dan terkuat di dunia, menjadikannya kerajaan pertama menggunakan khidmat askar bersenapang (Bahasa Inggeris: musket). Unit tentera elit Uthmaniyah ialah tentera Janissari yang juga merupakan pengawal peribadi sultan-sultan. Selepas kurun ke 17, Kerajaan Uthmaniyah tidak lagi mampu menghasilkan angkatan tentera moden disebabkan kurangnya reformasi dan askar-askar Janissari yang korup. Pembubaran unit Janissari pada tahun 1826 sudah terlambat dan ketika perang menentang Rusia, Empayar Uthmaniyah kekurangan senjata moden dan teknologi.
Pemodenan Empayar Uthmaniyah pada kurun ke-19 bemula dengan pemodenan angkatan tenteranya. Empayar ini merupakan institusi pertama mengupah pakar asing dan menghantar pegawai-pegawai kanan mereka untuk menjalani latihan di negara-negara Barat. Dengan cara ini teknologi dan senjata baru tiba di sini seperti senapang dari Jerman dan British serta konsep ketenteraan udara dan laut moden. Empayar Uthmaniyah berjaya dalam memodenkan angkatan tenteranya, walau bagaimanapun mereka masih tidak dapat menandingi kuasa-kuasa Barat.
Kebudayaan
Kajian terkini menunjukkan bahawa Empayar Uthmaniyah sememangnya kaya dengan kebudayaan. Pada asalnya, orang-orang Uthmaniyah tergolong dalam kebudayaan orang-orang Asia Tengah. Mereka kemudiannya mengintegrasikan kebudayaan Parsi dan Byzantine dalam kehidupan harian mereka. Apabila melihat seni-seni Uthmaniyah, kita dapat mengetahui bahawa mereka mewarisinya daripada asal-usul mereka. Mereka menggunakan banyak budaya Parsi. Empayar ini menunjukkan terdapat keharmonian di antara bangsa Turki dan bangsa Parsi. Bukan sahaja itu, terdapat juga pengaruh Eropah dan Byzantine.
Empayar ini juga kaya dengan pelbagai kebudayaan seperti Arab, Eropah, dan lain-lain lagi kerana empayarnya yang luas merangkumi pelbagai latar belakang dan budaya. Dengan berlakunya asimilasi antara mereka, lahirlah budaya baru di empayar ini.
Kronologi Empayar Uthmaniyyah
- 1243M- Bangsa Turki yang hidup secara nomad menetap secara tetap di Asia Kecil.
- 1299M- Sebuah wilayah pemerintahan kecil Turki di bawah Turki Seljuk ditubuhkan di barat Anatolia.
- 1300M- Osman I mengisytiharkan dirinya sebagai sultan. Tertubuhnya Empayar Uthmaniyah.
- 1326M- mata wang Empayar Uthmaniyah diperkenalkan, menggantik emas & perak.
- 1329M- kemenangan Empayar Uthmaniyah Perang Pelakanon (maltepe), Orhan Gazi vs Andronicos III (Byzantine).
- 1345M- Turki Seljuk menyeberangi Selat Bosporus.
- 1389M- Tentera Uthmaniyah menewaskan tentera Serb di Kosovo.
- 1402M- Timurlang, Raja Tartar (Mongol) menumpaskan tentera Uthmaniyah di Ankara.
- 1451M- Sultan Muhammad al-Fatih menjadi pemerintah.
- 1453M- Kustantiniyah ditawan. Berakhirnya Empayar Byzantium.
- 1520M- Sultan Sulaiman al-Qanuni dilantik menjadi sultan.
- 1526M- Perang Mohacs
- 1529M- Serangan dan kepungan ke atas Vienna.
- 1571M- Perang Lepanto berlaku.
- 1641M- Pemerintahan Sultan Muhammad IV
- 1683M- Serangan dan kepungan ke atas Vienna buat kali kedua.
- 1687M- Sultan Muhammad IV mangkat.
- 1703M- Pembaharuan kebudayaan di bawah Sultan Ahmed III.
- 1774M- Perjanjian Kucuk Kaynarca.
- 1792M- Perjanjian Jassy.
- 1793M- Sultan Selim III mengumumkan "Pentadbiran Baru".
- 1798M- Napoleon cuba untuk menawan Mesir.
- 1804M- Pemberontakan dan kebangkitan bangsa Serbia pertama.
- 1815M- Pemberontakan dan kebangkitan bangsa Serbia kedua.
- 1822M- Bermulanya Perang Kemerdekaan Yunani.
- 1826M- Pembunuhan beramai-ramai tentera elit Janissari. Kekalahan tentera laut Uthmaniyah di Navarino.
- 1829M- Perjanjian Adrianople.
- 1830M- Berakhirnya Perang Kemerdekaan Yunani.
- 1841M- Konvensyen Selat.
- 1853M- Bermulanya Perang Krimea.
- 1856M- Berakhirnya Perang Krimea.
- 1876M- Perlembagaan Uthmaniyah diluluskan.
- 1878M- Kongres Berlin. Serbia dan Montenegro diberi kemerdekaan. Bulgaria diberi kuasa autonomi.
- 1908M- Jawatankuasa Perpaduan dan Kemajuan atau lebih dikenali sebagai Turki Muda ditubuhkan. Perlembagaan Uthmaniyah dikembalikan. Austria menyerang Bosnia dan Herzegovina.
- 1912M- Perang Balkan Pertama.
- 1913M- Perang Balkan Kedua.
- 1914M- Empayar Uthmaniyah memasuki Perang Dunia I sebagai sekutu kuasa tengah.
- 1919M- Mustafa Kemal Atatürk mendarat di Samsun.
- 1922M- Sistem kesultanan dihapuskan.
- 1923M- Turki diisytiharkan sebagai sebuah Republik.
- 1924M- Pejabat khalifah dihapuskan.
Rujukan
- ^ The Encyclopædia Britannica, Vol.7, Edited by Hugh Chisholm, (1911), 3; Constantinople, the capital of the Turkish Empire...
- ^ Britannica, Istanbul:When the Republic of Turkey was founded in 1923, the capital was moved to Ankara, and Constantinople was officially renamed Istanbul in 1930.
- ^ Perjanjian Sèvres (10 Ogos 1920) memberi pengesahan minima terhadap kewujudan empayar. Penghapusan Kekhalifahan Uthmaniyah pada 1 November 1922 tidak menghapuskan "negara" tersebut tetapi sebaliknya "Ottoasty. Negara Uthmanuan dihapuskan secara rasinya melalui Perjanjian Lausanne (24 Julai 1923) yang mengiktiraf "pemerintah Ankara" (Ankara government) dan bukannya kerajaan yang berpusat di Kustantiniyah sebagai pemilik benar dan negara pengganti. Kerajaan yang berpusat di Istanbul kehilangan keuta selepas keberangkatan sultan. TBMM mengisytiharkan Republik Turki ("Republic of Turkey") sebagai pengganti (29 Oktober 1923).
- ^ Peter Turchin, Thomas D. Hall and Jonathan M. Adams, "East-West Orientation of Historical Empires Diarkibkan 2018-12-25 di Wayback Machine", Journal of World-Systems Research Vol. 12 (no. 2), pp. 219-229 (2006).
- ^ Dündar, Orhan; Dündar, Erhan, 1.Dünya Savaşı, Millî Eğitim Bakanlığı Yayınları, 1999, ISBN 975-11-1643-0
- ^ Defeat in detail: the Ottoman Army in the Balkans, 1912-1913, Edward J. Erickson, page 59
- ^ A ́goston, Ga ́bor; Masters, Bruce Alan (2008). Encyclopedia of the Ottoman Empire. Infobase Publishing, NY. m/s. 444. ISBN 978-0-8160--6259-1. "Osman was simply one among a number Turkoman tribal leaders operating in the Sakarya region."
- ^ "Osman I". Encyclopedia Britannica. Osman I, also called Osman Gazi, (born c. 1258—died 1324 or 1326), ruler of a Turkmen principality in northwestern Anatolia who is regarded as the founder of the Ottoman Turkish state.
- ^ Finkel, Caroline (2006-02-13). Osman's Dream: The Story of the Ottoman Empire, 1300–1923. Basic Books. m/s. 2, 7. ISBN 978-0-465-02396-7.
- ^ Quataert, Donald (2005). The Ottoman Empire, 1700–1922 (ed. 2). Cambridge University Press. m/s. 4. ISBN 978-0-521-83910-5.
- ^ H. İnalcık "Perkembangan Empayar Uthmaniyah" di P.M. Holt, A.K. S. Lambstone, dan B. Lewis (eds), "Sejarah Islam Cambridge" (Universiti Cambridge). muka surat 295-200
- ^ Jastrow, Peperangan dan Landasan Kereta Api Baghdad (1917) ASIN: B0006D8OSQ
- ^ Halil İnalcık, Pengajian sejarah ekonomi Timur Tengah : dari kebangkitan Islam sehinggalah pada masa kini / disunting oleh M. A. Cook. London University Press, Oxford U.P. 1970, p. 209 ISBN 0-19-713561-7
- ^ Halil İnalcık, Pengajian sejarah ekonomi Timur Tengah : dari kebangkitan Islam sehinggalah pada masa kini / disunting oleh M. A. Cook. London University Press, Oxford U.P. 1970, p. 217 ISBN 0-19-713561-7
- ^ a b Antony Black, "Negara Dinasti Osman (devlet-i al-i Osman)" dalam Sejarah Pemikiran Politik Islam: Dari Zaman Nabi Sehingga Kini, ms199
- ^ Lauren A. Benton, Kebudayaan Kolonial dan Undang-Undang: Sejarah Dunia, 1400–1900", ms109–110
Nota
- ^ Dinasti Uthmaniyah juga mengekalkan gelaran "khalifah" dari kemenangan Uthmaniyyah ke atas Kesultanan Mamluk Kaherah dalam Pertempuran Ridanieh pada tahun 1517 hingga Penghapusan Kekhalifahan oleh Republik Turki pada tahun 1924.
Lihat juga
Ketahui lebih lanjut tentang Ottoman Empire di Wikipedia: | |
Takrifan dari Wikikamus | |
Imej dan media dari Commons | |
Sumber pembelajaran dari Wikiversity | |
Berita dari Wikiberita | |
Petikan dari Wikipetikan | |
Teks sumber dari Wikisumber | |
Buku teks dari Wikibuku |
Pautan luar
- (Inggeris) Laman Web Uthmaniyah - Maklumat terperinci mengenai Empayar Uthmaniyah.
- (Inggeris) Tamadun Dunia: Uthmaniyyah - Laman web yang komprehensif mengenai pentadbiran di Uthmaniyah.
- (Inggeris) Empayar Uthmaniyah: Kronologi
- (Inggeris) Empayar Uthmaniyah: Negeri-Negeri yang ditadbir
- (Inggeris) Empayar Uthmaniyah: Imej Sejarah